Kita Hanyalah Hamba

Sesungguhnya...

tiada harapan selain ALLAH...
tiada idola selain RASULULLAH...
tiada kata seindah AL-QURAN...
tiada jalan selurus AS-SUNNAH...
tiada perjuangan selain ISLAM.

Tuesday, July 26, 2011

Ya Allah, titipkan aku disini...


Semakin dekat Ramadhan hampiri,
Semakin rindu menebal dihati...


Rasa syahdu dan ragu silih berganti,
Memikirkan apakah diri kan peroleh rahmat yang telah dijanji Ilahi?
Apakah mampu ku hayati Ramadhan ini dengan indah sekali?

Ya Rabbul 'Izzati...
Pertemukan aku dengan Ramadhan
Bersama roh dan jiwa yang penuh erti kehambaan...


Ya Rabbul 'Izzati...
Berilah aku kekuatan
Untuk menghayati Ramadhan
Disaat ku layari sisa-sisa usia yang bernama kehidupan


Ya Rabbul 'Izzati...
Ku hanya mahukan yang sedikit cuma
Yang sedikit itulah hambaMu yang bertaqwa
Yang sedikit itulah hambaMu yang takut berdosa
Yang sedikit itu jualah yang mahu ku pinta
Letakkanlah aku dikalangan mereka...


Biar susah
Biar payah
Dalam mujahadah ini
Tidak kan ku biar
Perjalanan menuju mati
Hanya sekadar mimpi
Yang penuh anganan
Yang penuh kepuraan


Andai masih diberi ruang untuk ku jejaki Ramadhan
Masukkan aku dalam Rahmat yang telah Kau janjikan
Wahai Tuhan, Pemilik Sekalian Alam...



˳Azrina Abu Bakar  ˳

Monday, July 25, 2011

Apa Erti Aku Seorang Islam ?


Bismillahirrahmanirrahim...

Saat menatap sebuah buku
diri terpukul dengan tajuk yang tertera dikulitnya

~ APA ERTI AKU SEORANG ISLAM? ~

Malu rasanya, cuba ku larikan mata dari membacanya
Namun hati meronta untuk terus mnyelami
bait-bait isi yang tertulis

Allahu Akbar!

Rasa seperti terheret aku dari sebuah kegelapan
Jauh dihadapan bagai ada Nur yang sedang menanti
Bimbang dihati kiranya tidak ada kesempatan untuk ku nikmati
Erti sebenarnya Islam yang ada pada diri

Allahu Allah...

Berilah kesempatan pada kami
Berilah kefahaman untuk kami
usah Kau biarkan rasa berpuas hati
kerana Islam sudah ada dalam diri
sedang hakikat sebenarnya
Islam kami, Islam yang senyap dan sunyi
Islam kami, kosong tidak berinti
Islam kami ini
hanyalah Islam yang menunggu mati...

Astaghfirullah...



˳Azrina Abu Bakar  ˳

Sunday, July 24, 2011

Alhamdulillah.. Terima Kasih Ya Allah!



SELAMAT ULANGTAHUN PADA DIRI!


Alhamdulillah... atas izin dari Allah SWT.. aku dewasa setahun lagi.


Hari ini aku merangkak setapak lagi meninggalkan semalam bererti semakin sedikit sisa usia yang ada buat diri yang terlalu hina dan dhaif ini.


Ya Allah!
Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya, saat aku 'tidak mengenaliMu', hati mampu ketawa riang, meraikan anjakan usia yang kononnya mendewasakan.


Astaghfirullah...
Terlupa diri semakin menghampiri mati.
Terlupa bekalan masih tidak terisi
Terlupa kejahilan menguasai diri...


Subhanallah...
Hari ini anugerah itu datang lagi
Datang bersama sekeping hati yang ingin dipeduli
Datang bersama rintihan hati yang mengharapkan keampunan diberi...


Ya Allah...
Terasa anugerah ini satu keuntungan pada diri
kerana kesempatan masih jua Kau beri


Dalam keberuntungan ini
Aku benar-benar ingin memperbaiki
Aku benar-benar ingin dicintai
dan aku benar-benar ingin memiliki
apa sebenarnya erti
seorang hamba yang kenal Pencipta Diri.


Ya Allah...
Dapat kiranya Kau jadikan HIDAYAH dan TAUFIK
dariMu sebagai hadiah teristimewa buat ku...


Sesungguhnya tiada daya dan kemampuan pada diri ini
melainkan hanya denganMu... Ya Rabbi.



˳Azrina Abu Bakar  ˳

Tuesday, July 19, 2011

Masyaallah!


Malam ini,
Bukalah mata hati
Untuk cuba memahami...


Kebaikan yang kita ada
i
tu sebenarnya kelebihan Dia Yang Mencipta

kita ini tiada apa
hanya sekadar merasa
itu juga kerana izin dariNya
kerana Dia Yang Menakluki segala...


Malam ini,
Bukalah mata hati
Untuk cuba memahami...


Dugaan dan ujian
yang jadi pengalaman
yang jadi pengajaran
itu semua adalah keadilan dariNya Pemilik Nyawa
kita ini tiada apa
tapi selalu salah sangka
itu kerana lemahnya kita
lemahnya diri seorang hamba
sedang Dia Maha Mengetahui tiap perkara...




˳Azrina Abu Bakar  ˳

Monday, July 18, 2011

Bekas Kosong Tak Berisi


Saat kita meniti perjalanan duniawi
tiba-tiba saja langkah terhenti
berhenti pada satu persinggahan yakni mati
bersediakah kita ini?

Berlabuhnya kita diperhentian ini
tidak kira siapa pun diri
pasti kan terjadi kerana ianya janji
bekalan apa yg kita bawa ke sini?

Waktu ini bekas-bekas amalan ada disisi
dibuka, untuk dijadikan persembahan diri
tapi sayang, bekasnya kosong tidak berisi
mahukah kita begini?

Maka, akan terus menangislah diri
tanpa ada siapa yang peduli lagi...

Astaghfirullah...
HambaMu belum mahu kembali...



˳Azrina Abu Bakar  ˳

Friday, July 15, 2011

Kiranya Ini Yang Dikatakan Taman Syurga...

(Alhamdulillah... nukilan kedua yg disiarkan di iLuvIslam.com, moga tiap perkongsian mendapat keberkatan dari Allah Yg Maha Esa buat kita hamba-hambaNya... Insyaallah).



Assalamualaikum...

Alhamdulillah kerana dengan izin dari Allah, kita dipertemukan lagi diruangan yang menemukan kita hanya melalui baris-baris bicara.

Terima kasih pada yang tidak jemu-jemu menjengah ke sini.

Moga Rahmat dari Allah sentiasa mengiringi... aamiin Ya Rabbi.

Damai rasanya berada dibawah sinar mentari yang seakan menyembunyikan dirinya sejak awal pagi tadi.

Subhanallah... titis jernih ini mengalir lagi tatkala memandang ke langit yang luas memayungi bumi.

Bersyukur kerana masih jua diberi helaan nafas dan menikmati keindahan ciptaanNya,

Alhamdulillah.

Kisah yang ingin aku titipkan kali ini, merupakan satu kisah yang mungkin menjadi anugerah dari Allah buat insan kerdil dan hina ini.

Terfikir juga untuk tidak berkongsi, tapi rasanya tidak ada salahnya andai sedikit rasa bahagia ini ku kongsikan bersama.

Moga Allah memberkati tiap perkongsian dan terus-menerus menghulurkan rasa cinta yang begitu menebal buatNya... Insyaallah.

Seperti biasa, setiap petang khamis, aku hadir ke kelas pengajian tajwid disurau Ar Rahman, berhampiran kawasan kediaman ku.

Biasanya aku tiba lima minit lebih awal sebelum kelas bermula, cuma sesekali terbabas jua seminit dua.

Sudah menjadi amalan ku, setiap kali memulakan perjalanan ke tempat pengajian(surau) aku akan berdoa;

Doa Pergi ke Masjid (maksudnya);

Ya Allah,
jadikanlah cahaya dihatiku
cahaya dilidahku
cahaya dipendengaranku
cahaya dipenglihatanku
cahaya dari belakangku
cahaya dihadapanku
cahaya dari atasku
dan cahaya dari bawahku.
Ya Allah, berilah aku cahaya... aamiin Ya Rabbal'aalamiin.

~ Riwayat Al Bukhari ~

:: Diriwayatkan dalam Sahih Muslim, dalam sebuah hadis bahawa Ibn Abbas r.a. bahawa Nabi SAW telah keluar dari rumah Maimunah r.ha selepas betahajjud, untuk ke masjid bersolat Subuh. Maka baginda SAW telah membaca doa ini.. (sama-sama kita amalkan... Insyaallah).

Inilah doa yang menjadi amalan ku.

Lidah dan mulut ini dengan spontan melafazkannya tatkala aku mula melangkah.. moga Istiqamah dan mendapat ganjarannya disisi Allah... aamiin Ya Allah.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 10 minit dari rumah.

Setibanya aku diperkarangan surau, ku lihat belum ramai yang hadir.

Mungkin juga aku yang sedikit awal dari mereka hari ini.

Kalimah-kalimah suci yang dipasang, menghiasi kamar telinga ku.

Indah.
Terhibur benar rasa hati.

Dari situ juga aku tahu, bahawa penganjur kelas, Puan Intan yang ku anggap seperti kakak ku sendiri sudah ada didalam surau.

Memang menjadi kebiasaan, kak Intan (panggilan sahabat-sahabat padanya) orang pertama yang hadir disurau.

Beliau yang akan menyediakan keperluan untuk ustaz dan mengemaskini surau sebelum kelas dimulakan.

Allahu Akbar!
Moga tersedia ganjaran pahala atas tiap kebaikan mu itu wahai kakak ku... aamiin Ya Allah.

Sekali lagi, aku membaca doa ketika melangkah masuk ke dalam surau, (amalan yang tidak mahu aku lepaskan... Insyaallah).

Doa Masuk ke Dalam Surau/Masjid (maksudnya);

"Ya Allah, ampunilah aku dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmatMu... aamiin Ya Rabbal'aalamiin."

Sebaik saja kaki melangkah dipintu surau, terlihat 2 orang sahabat menyambutku dengan senyuman.

"Assalamualaikum.."
Ucapan salam bersambut.

Senyuman berbalas seraya selawat ke atas baginda SAW terucap seiring tangan yang berjabat.

Subhanallah.
Moga ukhuwah kami disini mendapat barakah dariMu.

Tepat jam 5.30 petang, kelas dimulakan dengan membaca ummul kitab.

Al Fatihah.

Kami membacanya penuh tertib.

Seusai kata-kata aamiin dilafazkan, kami mengalunkan doa Qhatam Al Quran.

Dan setiap kali saat ini tiba hati benar-benar tersentuh.

Doa ini kami alunkan dalam bahasa arab.

Namun pengertiannya selalu membawa diri ini menjadi hamba yang benar-benar kerdil disisiNya.

Malah terasa hamba hina ini bagai merayu dan merintih untuk memohon 'perhatian' dari Yang Allah Maha Esa.

Doa Qhatam Al Quran (maksudnya);

Ya Allah,
Rahmatilah kami dengan Al Quran.
Jadikan ianya Pimpinan, Cahaya, Petunjuk dan Rahmat.
Allah ingatkan kami, apa yang terlupa
Ajarkanlah...
Ajarkanlah...
Yang tak diketahui
Kurniakan kami membacanya
Sepanjang malam
dan sepanjang siang hari
Jadikan ianya hujjah kami (pembela kami diakhirat)
Ya Rabbal'aalamiin...

Subhanallah.. Alhamdulillah... Lailaha Ilallah... Allahu Akbar!

Disinilah..
Saat inilah...

Tiba-tiba aku mendengar alunan doa ini begitu merdu dan gemersik sekali.
Allahu Allah...

Bukan suara kami Ya Allah.

Terasa yakin benar diri ini, bahawa suara-suara itu bukan suara kami Ya Allah.

Genangan airmata menjadikan aku bertambah hiba.

Didada ini bagai terbit satu getar yang tak mampu aku luahkan.

Allahu Akbar!

Apakah ini yang Kau sebut-sebut, sesungguhnya para Malaikat ada bersama-sama hambaMu yang mencari ilmu?

Subhanallah.

Dalam kesyahduan yang aku rasakan menjadikan aku tidak mampu lagi untuk mengangkat wajah ini.

Tertunduk malu aku denganMu Ya Allah.

Andai benarlah, apa yang aku dengar ini anugerah dariMu, aku bersyukur.

Aku benar-benar bersyukur.

Ya Allah, letakkanlah kami, hamba-hambaMu ini, dikalangan mereka yang tidak jemu-jemu ingin menggali ilmuMu.

Tiada bekalan terbaik selain ilmu yang kami cari, untuk kami jadikan panduan agar dapat kami beramal padaMu.

Ya Allah, tiap ruang dan peluang yang sentiasa Engkau bukakan buat kami, akan kami jadikan satu jalan dalam kami merebut keredhaanMu.

Redhailah kami Ya Rabbi.

Limpahilah RahmatMu buat kami Ya Rabbi.

Bahagiakanlah kami didunia dan akhirat nanti...

Sesungguhnya tiada daya dan upaya kami melainkan hanya denganMu... Allahu Rabbi.

Walau keindahan yang dapat aku dengari itu hanya sebentar cuma, tapi hingga saat ini,
gemersiknya suara yang singgah ke telinga menjadikan aku benar-benar rindu untuk terus berilmu.

Dan ingin benar aku menguasai ilmu dan keindahan kalam suciMu ini.

Ya Allah, kasih sayangkanlah kami dengan Al Quran.

Agar dapat kami beramal hanya untukMu... wahai Penciptaku.

Ya Allah, permudahkanlah kami dijalan ini.

Hanya Engkau Pelindung dan Pemelihara kami.

Dan hanya Engkau sahaja yang mencukupkan segalanya buat kami.

Moga apa yang aku kongsikan ini, menjadikan hati kita bertambah rindu dan lunak untuk merebut cinta Allah Yang Maha Esa.

Selagi diberikan keizinan untuk bernafas dibumi pinjamanMu ini Ya Allah, aku berjanji untuk terus mencari, mencari ilmu yang akan menjadi bekalan tika aku pulang ke sisiMu nanti...

Insyaallah.



˳Azrina Abu Bakar  ˳

Tuesday, July 12, 2011

Tidak Mampu @ Tidak Mahu?


Berkali-kali kau bilang
kau tidak mampu
Sedang kau punya ruang
kau diberi peluang
masih juga kau bilang
kau tidak mampu

Cuba hayati diri sendiri
kau punya dua tangan dan kaki
bisa melihat ke kanan dan kiri
mampu bernafas dengan sempurna sekali

Cuba hayati sekali lagi
tiap denyut nadi
dan degupan jantung yang berlari
seolah-olah tidak akan berhenti
malah selari
cantik sekali

Apakah kau fikir ini semua diberi
tanpa perlu kau syukuri?
tanpa perlu kau hargai?
atau kau sendiri yang cuba menafi?

Astaghfirullah...

Pandanglah dengan mata hati
Fikirlah dengan akal yang diberi
Mengapa masih membatu?
Mengapa mahu terus bisu?
Mengapa dibiarkan kaki mu kaku?

Ayuh! Bangunlah!
Bangkitkan roh dan jiwa
Meniti dan terus mencari
Apa sebenarnya kehidupan duniawi

Ayuh! Bangunlah!
Bangkitkan hati yang mati
Jernihkan kekeruhan diri
Agar hidayah Allah dapat kau kecapi
Bersama redha dari Ilahi

Ayuh! Bangunlah!
Iman yang ada pasti berkata
kau sebenarnya bukan TIDAK MAMPU
sebaliknya hasutan yang sering membelenggu mu
agar kau TIDAK MAHU!
Na'uzubillah.



˳Azrina Abu Bakar  ˳

Friday, July 8, 2011

Tiada Manisnya Dusta


Lidah yang menutur kata
Membiarkan jari-jari menyusun bicara
Sedang hati tidak suka
Masih jua mahu melontar bahasa


Seiringkanlah bicara manis bagai pujangga
Agar hati tidak kecewa
Dan tingkahnya tidak menjadi dusta...


Sesungguhnya, Allah itu Pemerhati kita..
Tiada satupun yang tidak 'dilihatNya'
Melainkan hanya kita yang selalu buta
Dan seringkali alpa dan terleka...
Astaghfirullah.



˳Azrina Abu Bakar  ˳

Tuesday, July 5, 2011

Aku Ingin Seperti Mu Wahai Mutiara...




Mutiara...
Kilaunya tiada sinar
Tidak memancar
Tenggelam jauh didasar
Mendapatnya terlalu sukar...

Permata...
Bersinar dan berkilau
Pandangan bisa silau
Terpanah dek sinar yang memukau
Tergila-gila pada yang melampau...

Antara mutiara dan permata
Kedua-duanya amat berharga
Menjadi pujaan yang berharta
Menjadi dambaan pada yang tak punya

Aku ingin seperti mu wahai mutiara
Hanya sebutir
Tidak seperti seribu permata

Aku ingin seperti mu wahai mutiara
Sesuci warnanya
Tidak seperti permata
Yang selalu memukau dalam silau...

Dalam diam duduk mu wahai mutiara
Menjadi rebutan dan sanjungan
Dalam berkedipan cahaya sang permata
Ia berserakan dimana-mana...

Benar! Aku ingin seperti mu wahai mutiara.



˳Azrina Abu Bakar  ˳

Friday, July 1, 2011

"Selaut Kasih dan Rindu"... Subhanallah!


Assalamualaikum...
Salam Mahabbah buatmu ukhti kesayanganku.

Malam ini ingin aku berkongsi sesuatu denganmu.
Moga tiada jemu dalam kau meniti tiap baris bicara dariku.

Wahai ukhti kesayangan ku,
Teringat aku beberapa purnama yang lalu,
Allah mengirimkan perasaan ingin mengenali mu.
Ku hulurkan salam pengenalan.
Alhamdulillah, ikatan ukhuwah mula tersimpul bersama izin dariNya.


Wahai ukhti kesayangan ku,
Dalam kejauhan kita merasa semakin dekat.
Dalam kerinduan hati kita semakin erat.
Subhanallah... betapa indah ukhuwah yang terikat.
Hanya tarian jari yang tak mampu berjabat.


Wahai ukhti kesayangan ku,
Saat kau mengirimkan selaut kasih dan rindu tanpa ada yang tahu,
saat itu titis jernih ini mengalir laju... hati benar-benar terharu,
betapa anugerah Allah, hanya Dialah Penentu,
memberi tanpa ada batas waktu
memberi pada kita yang serba tidak tahu.


Wahai ukhti kesayangan ku,
Benarlah katamu,
sebenarnya kita ini mencari redhaNya
bersama kasih dan rindu yang ada
kita ingin menjejaki Syurga
ingin bersama berpimpinan tangan disana...
mampukah kita?


Wahai ukhti kesayangan ku
bersama kita meminta
dalam doa
dan usaha menjadi diri seorang hamba yang bertaqwa...
Insyaallah.



˳Azrina Abu Bakar  ˳
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...