Kita Hanyalah Hamba

Sesungguhnya...

tiada harapan selain ALLAH...
tiada idola selain RASULULLAH...
tiada kata seindah AL-QURAN...
tiada jalan selurus AS-SUNNAH...
tiada perjuangan selain ISLAM.

Friday, July 15, 2011

Kiranya Ini Yang Dikatakan Taman Syurga...

(Alhamdulillah... nukilan kedua yg disiarkan di iLuvIslam.com, moga tiap perkongsian mendapat keberkatan dari Allah Yg Maha Esa buat kita hamba-hambaNya... Insyaallah).



Assalamualaikum...

Alhamdulillah kerana dengan izin dari Allah, kita dipertemukan lagi diruangan yang menemukan kita hanya melalui baris-baris bicara.

Terima kasih pada yang tidak jemu-jemu menjengah ke sini.

Moga Rahmat dari Allah sentiasa mengiringi... aamiin Ya Rabbi.

Damai rasanya berada dibawah sinar mentari yang seakan menyembunyikan dirinya sejak awal pagi tadi.

Subhanallah... titis jernih ini mengalir lagi tatkala memandang ke langit yang luas memayungi bumi.

Bersyukur kerana masih jua diberi helaan nafas dan menikmati keindahan ciptaanNya,

Alhamdulillah.

Kisah yang ingin aku titipkan kali ini, merupakan satu kisah yang mungkin menjadi anugerah dari Allah buat insan kerdil dan hina ini.

Terfikir juga untuk tidak berkongsi, tapi rasanya tidak ada salahnya andai sedikit rasa bahagia ini ku kongsikan bersama.

Moga Allah memberkati tiap perkongsian dan terus-menerus menghulurkan rasa cinta yang begitu menebal buatNya... Insyaallah.

Seperti biasa, setiap petang khamis, aku hadir ke kelas pengajian tajwid disurau Ar Rahman, berhampiran kawasan kediaman ku.

Biasanya aku tiba lima minit lebih awal sebelum kelas bermula, cuma sesekali terbabas jua seminit dua.

Sudah menjadi amalan ku, setiap kali memulakan perjalanan ke tempat pengajian(surau) aku akan berdoa;

Doa Pergi ke Masjid (maksudnya);

Ya Allah,
jadikanlah cahaya dihatiku
cahaya dilidahku
cahaya dipendengaranku
cahaya dipenglihatanku
cahaya dari belakangku
cahaya dihadapanku
cahaya dari atasku
dan cahaya dari bawahku.
Ya Allah, berilah aku cahaya... aamiin Ya Rabbal'aalamiin.

~ Riwayat Al Bukhari ~

:: Diriwayatkan dalam Sahih Muslim, dalam sebuah hadis bahawa Ibn Abbas r.a. bahawa Nabi SAW telah keluar dari rumah Maimunah r.ha selepas betahajjud, untuk ke masjid bersolat Subuh. Maka baginda SAW telah membaca doa ini.. (sama-sama kita amalkan... Insyaallah).

Inilah doa yang menjadi amalan ku.

Lidah dan mulut ini dengan spontan melafazkannya tatkala aku mula melangkah.. moga Istiqamah dan mendapat ganjarannya disisi Allah... aamiin Ya Allah.

Perjalanan mengambil masa lebih kurang 10 minit dari rumah.

Setibanya aku diperkarangan surau, ku lihat belum ramai yang hadir.

Mungkin juga aku yang sedikit awal dari mereka hari ini.

Kalimah-kalimah suci yang dipasang, menghiasi kamar telinga ku.

Indah.
Terhibur benar rasa hati.

Dari situ juga aku tahu, bahawa penganjur kelas, Puan Intan yang ku anggap seperti kakak ku sendiri sudah ada didalam surau.

Memang menjadi kebiasaan, kak Intan (panggilan sahabat-sahabat padanya) orang pertama yang hadir disurau.

Beliau yang akan menyediakan keperluan untuk ustaz dan mengemaskini surau sebelum kelas dimulakan.

Allahu Akbar!
Moga tersedia ganjaran pahala atas tiap kebaikan mu itu wahai kakak ku... aamiin Ya Allah.

Sekali lagi, aku membaca doa ketika melangkah masuk ke dalam surau, (amalan yang tidak mahu aku lepaskan... Insyaallah).

Doa Masuk ke Dalam Surau/Masjid (maksudnya);

"Ya Allah, ampunilah aku dan bukakanlah bagiku pintu-pintu rahmatMu... aamiin Ya Rabbal'aalamiin."

Sebaik saja kaki melangkah dipintu surau, terlihat 2 orang sahabat menyambutku dengan senyuman.

"Assalamualaikum.."
Ucapan salam bersambut.

Senyuman berbalas seraya selawat ke atas baginda SAW terucap seiring tangan yang berjabat.

Subhanallah.
Moga ukhuwah kami disini mendapat barakah dariMu.

Tepat jam 5.30 petang, kelas dimulakan dengan membaca ummul kitab.

Al Fatihah.

Kami membacanya penuh tertib.

Seusai kata-kata aamiin dilafazkan, kami mengalunkan doa Qhatam Al Quran.

Dan setiap kali saat ini tiba hati benar-benar tersentuh.

Doa ini kami alunkan dalam bahasa arab.

Namun pengertiannya selalu membawa diri ini menjadi hamba yang benar-benar kerdil disisiNya.

Malah terasa hamba hina ini bagai merayu dan merintih untuk memohon 'perhatian' dari Yang Allah Maha Esa.

Doa Qhatam Al Quran (maksudnya);

Ya Allah,
Rahmatilah kami dengan Al Quran.
Jadikan ianya Pimpinan, Cahaya, Petunjuk dan Rahmat.
Allah ingatkan kami, apa yang terlupa
Ajarkanlah...
Ajarkanlah...
Yang tak diketahui
Kurniakan kami membacanya
Sepanjang malam
dan sepanjang siang hari
Jadikan ianya hujjah kami (pembela kami diakhirat)
Ya Rabbal'aalamiin...

Subhanallah.. Alhamdulillah... Lailaha Ilallah... Allahu Akbar!

Disinilah..
Saat inilah...

Tiba-tiba aku mendengar alunan doa ini begitu merdu dan gemersik sekali.
Allahu Allah...

Bukan suara kami Ya Allah.

Terasa yakin benar diri ini, bahawa suara-suara itu bukan suara kami Ya Allah.

Genangan airmata menjadikan aku bertambah hiba.

Didada ini bagai terbit satu getar yang tak mampu aku luahkan.

Allahu Akbar!

Apakah ini yang Kau sebut-sebut, sesungguhnya para Malaikat ada bersama-sama hambaMu yang mencari ilmu?

Subhanallah.

Dalam kesyahduan yang aku rasakan menjadikan aku tidak mampu lagi untuk mengangkat wajah ini.

Tertunduk malu aku denganMu Ya Allah.

Andai benarlah, apa yang aku dengar ini anugerah dariMu, aku bersyukur.

Aku benar-benar bersyukur.

Ya Allah, letakkanlah kami, hamba-hambaMu ini, dikalangan mereka yang tidak jemu-jemu ingin menggali ilmuMu.

Tiada bekalan terbaik selain ilmu yang kami cari, untuk kami jadikan panduan agar dapat kami beramal padaMu.

Ya Allah, tiap ruang dan peluang yang sentiasa Engkau bukakan buat kami, akan kami jadikan satu jalan dalam kami merebut keredhaanMu.

Redhailah kami Ya Rabbi.

Limpahilah RahmatMu buat kami Ya Rabbi.

Bahagiakanlah kami didunia dan akhirat nanti...

Sesungguhnya tiada daya dan upaya kami melainkan hanya denganMu... Allahu Rabbi.

Walau keindahan yang dapat aku dengari itu hanya sebentar cuma, tapi hingga saat ini,
gemersiknya suara yang singgah ke telinga menjadikan aku benar-benar rindu untuk terus berilmu.

Dan ingin benar aku menguasai ilmu dan keindahan kalam suciMu ini.

Ya Allah, kasih sayangkanlah kami dengan Al Quran.

Agar dapat kami beramal hanya untukMu... wahai Penciptaku.

Ya Allah, permudahkanlah kami dijalan ini.

Hanya Engkau Pelindung dan Pemelihara kami.

Dan hanya Engkau sahaja yang mencukupkan segalanya buat kami.

Moga apa yang aku kongsikan ini, menjadikan hati kita bertambah rindu dan lunak untuk merebut cinta Allah Yang Maha Esa.

Selagi diberikan keizinan untuk bernafas dibumi pinjamanMu ini Ya Allah, aku berjanji untuk terus mencari, mencari ilmu yang akan menjadi bekalan tika aku pulang ke sisiMu nanti...

Insyaallah.



˳Azrina Abu Bakar  ˳

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...