Kita Hanyalah Hamba

Sesungguhnya...

tiada harapan selain ALLAH...
tiada idola selain RASULULLAH...
tiada kata seindah AL-QURAN...
tiada jalan selurus AS-SUNNAH...
tiada perjuangan selain ISLAM.

Wednesday, December 28, 2011

Wahai Si Musafir Hina dibumi Tuhan...



[ Alhamdulillah... artikel ke 5 yang disiarkan diILUVISLAM.COM ]

Bismillahirrahmanirrahim...
Segala puji hanya bagi Allah Yang Maha Perkasa Lagi Maha Memelihara.


Bersama rasa kasih sayang yang Allah salurkan dihati ini, ingin sekali aku menzahirkan apa yang Allah titipkan pada tiap langkah dalam aku mencari redhaNya.


Titipan ini adalah semata-semata kerana Allah, kerana melaluiNya nikmat ini ku rasakan sekalipun disulami pahit getir dalam perjalanan yang sedang aku atur dengan izin dariNya.


Wahai Si Musafir Hina dibumi Tuhan...


Perjalanan kita ini sebenarnya satu perjuangan.
Perjuangan yang menggunakan akal fikiran.  Perjuangan yang memerlukan matlamat untuk mengecapi tujuan. Perjuangan yang sering ditewaskan nafsu dan pujukan.


Tidak semudah omongan, "Mengecapi iman berlaku andai kita mengenal Tuhan".


Percayalah, kesulitan dan kesedihan itulah perjuangan.  Sedang nikmat ganjaran dan kegembiraan itu adalah kemanisan yang ingin kita rasakan.


Wahai Si Musafir Hina dibumi Tuhan...


Aku juga adalah insan.
Insan yang tak terlepas dengan ujian.
Insan yang sentiasa bergantung denganNya yang memiliki tiap perlindungan.


Tidak bererti, nasihat dan ungkapan kekuatan yang sering ku lahirkan, menggambarkan aku ini hamba yang patuh pada perintah dan sentiasa menjauhi laranganNya.


Aku juga seperti kalian.  Seorang insan yang sentiasa memohon pimpinan.


Wahai Si Musafir Hina dibumi Tuhan...


Ketahuilah oleh mu, tiap dari kita ini sedang menempuhi perjalanan dunia.
Tiada pengecualian pada diri yang  punya jasad dan roh.  Selagi bercantum keduanya, selagi itulah perjalanan ini dilalui.


Namun, sedarkah kita hanya sedikit bilangannya yang mahu mengambil peduli untuk memahami perjalanan yang Allah aturkan ini?


Berbahagialah pada hati yang ingin memahami.
Bergembiralah pada jiwa yang sedang melayari.


Andai dalam pelayaran ini, diri diuji dengan lambungan ombak hingga ada ketikanya terlepas habuan yang telah kita perolehi, jadikanlah SABAR dan SYUKUR itu sahabat pada diri.


Adakala melalui sebuah kehilangan kita akan lebih memahami erti sebenar satu penghargaan.
Dan melalui kebahagiaan dan kesenangan bisa melucutkan rasa kesyukuran pada sebuah kenikmatan.


Inilah kita, manusia yang hanyalah hamba.
Terlupa dan terleka dengan ujian dunia.
Termakan hasutan dalam kita memohon pimpinan dariNya.
Astaghfirullah...


Sesungguhnya, bermusafir dibumi Tuhan punya kepayahan yang dihujungnya menjanjikan kedamaian.


Berusahalah, kerana Sang Pencipta tidak pernah memungkirinya.


Ada bahagia yang menanti kita disana.
Ada penawar disetiap kelukaan dalam perjalanan si musafir hina.


Andai hari ini, kita ditemani dengan titisan jernih dipipi, hanya kerana ingin mencapai redha dan janjiNya, tangisilah ia dengan penuh cinta.


Moga Rahmat dan Cinta dariNya sentiasa mengiringi perjalanan si musafir hina dibumi Tuhan... aamiin Ya Rabbal'aalamiin.


"Allah, Engkau dekat penuh kasih sayang.
Takkan pernah Engkau biarkan hambaMu menangis..."


Subhanallah.


˳Azrina Abu Bakar  ˳

Thursday, December 22, 2011

Cerita Sepasang Mata...



Semalam, saya terpandang sepasang mata...
Sepasang mata pada seorang wanita.


Dari matanya benar-benar mengingatkan saya tentang kejahilan yang pernah saya lalui.


Astaghfirullah...


Sepasang mata itu disolek indah (bila dilihat dgn pandangan syaitan).
Melentik-lentik bulu mata yang ada.
Hitam pekat warnanya.


Teringat benar pada sepasang mata saya.
Yang satu ketika dulu pernah juga disolek dengan warna yang serupa.


Astaghfirullah...


Hari ini...
Sepasang mata ini
Tidak lagi berseri seperti dahulu lagi.


Tapi saya lebih bahagia
walau ianya pucat tidak berwarna.


Kerana sepasang mata ini
Sudah mampu melihat cahaya yang tersembunyi.
Sudah mampu mencari walau gelap menyelubungi.
Malah mampu menangisi dosa-dosa yang menghimpit diri.


Allahu Akbar!


Sesungguhnya, inilah pandangan yang hakiki.
Yang dulunya tidak ada pada sepasang mata ini...


Subhanallah...


Kurnia terindah dari Ilahi.
Moga pandangan sepasang mata ini
Sentiasa dalam lindungan Sang Pencipta Diri... aamiin Ya Rabbal'aalamiin.




˳Azrina Abu Bakar  ˳

Saturday, December 17, 2011

Segala Puji Hanya BuatNya...



Usai kuliah sebelum solat Asar tadi, seorang ibu menangis kerana sayu mendengar ayat-ayat suci Al-Quran alunan Ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Badiuzzaman.


Dia menghampiri saya, katanya...
"Kamu tahu ina, kenapa makcik menangis?". Saya mendengar bersama sebuah senyuman sambil menyentuh lembut bahunya.


Sambungnya lagi,
"Makcik rasa sedih, mata makcik tak dapat lagi melihat ayat-ayat suci yang dibacakannya." seraya dengan itu, lebih laju airmatanya mengalir.


Kali ini, saya menggenggam erat tangannya dan mula bersuara untuk menenangkannya.


"Makcik, syukur dengan apa yang masih Allah berikan pada makcik. Makcik masih boleh mendengar kan? Itu juga satu nikmat."


Makcik itu seperti menokhtahkan tangisannya. Arah pandangan matanya yang kabur (hampir tak dapat melihat lagi) itu menghala ke arah mata saya dalam-dalam.


Saya senyum.


"Ya Allah, betul ina.... Allahu Akbar! Alhamdulillah... Allah Maha Mendengar... dan makcik juga masih boleh mendengar."


Kali ini makcik itu menangis.. tapi disulamkan dengan ucapan Alhamdulillah dibibirnya.


Sebelum saya melangkah meninggalkan surau, sempat saya berpesan padanya...


"Makcik, gunakan dengan sebaik-baiknya nikmat yang masih ada ini, kerana diluar sana betapa ramai yang mampu melihat dan mendengar tapi tidak mengendahkan keindahan Al Quran".


Makcik itu mengangguk-anggukkan kepalanya. Menggenggam tangan saya dengan penuh erat walau saya tahu tiada ucapan terima kasih dari mulutnya, yang penting rasa syukur pada Allah yang terucap dihatinya.


Subhanallah... peristiwa hari ini, membawa saya untuk berkongsi bukan untuk menunjukkan 'kemampuan' saya mendamaikan hati seorang makcik yang terlupa akan nikmat pendengarannya, kerana saya sedar, kita ini hanyalah perantara.  Segala kemampuan itu datangnya bersama izin dari Allah.


Apa yang saya lalui bersama makcik ini, mendidik saya untuk melihat akan nikmat yang sentiasa ada pada diri kita, dan selagi diberi kemampuan untuk kita menyampaikan atau berkongsi, sebarkanlah, kerana tiap kebaikan itu adalah petunjuk dari Allah.


Moga kita menjadi sebahagian dari hamba Allah yang sentiasa mendapat petunjuk dan hidayah dariNya... aamiin Ya Rabbal'aalamiin.

˳Azrina Abu Bakar  ˳

Tuesday, December 13, 2011

Saat Dalam Pelukan...



Mengapa mahu menjauh
Saat Dia ingin memelukmu?


Pelukan itu petunjuk buat mu
Bersamanya ada kasih sayang yang perlu...


Teruslah menghampiriNya
Kerana kedukaan yang lara dijiwa
Sebenarnya merindukan penawar pada roh yang terluka


Percayalah, kecewa dan derita yang kau rasa
Itulah tandanya dirimu berdosa
Berusahalah untuk merawatnya
Moga dapat digantikan dosa dengan jalan yang penuh cahaya


Mohonlah padaNya
Saat pelukanNya dapat kau rasa


Sesungguhnya
Hanya Dia Penghapus Segala Dosa
Hanya Dia juga Pemberi Tiap Ganjaran Pahala
Moga dipertemukan jalan keredhaan
Saat kau berada dalam pelukan
Sang Pengurnia Seluruh Kedamaian...
Allahu Akbar!




˳Azrina Abu Bakar  ˳
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...