[ Alhamdulillah... artikel ke 5 yang disiarkan diILUVISLAM.COM ]
Bismillahirrahmanirrahim...
Segala puji hanya bagi Allah Yang Maha Perkasa Lagi Maha Memelihara.
Bersama rasa kasih sayang yang Allah salurkan dihati ini, ingin sekali aku menzahirkan apa yang Allah titipkan pada tiap langkah dalam aku mencari redhaNya.
Titipan ini adalah semata-semata kerana Allah, kerana melaluiNya nikmat ini ku rasakan sekalipun disulami pahit getir dalam perjalanan yang sedang aku atur dengan izin dariNya.
Wahai Si Musafir Hina dibumi Tuhan...
Perjalanan kita ini sebenarnya satu perjuangan.
Perjuangan yang menggunakan akal fikiran. Perjuangan yang memerlukan matlamat untuk mengecapi tujuan. Perjuangan yang sering ditewaskan nafsu dan pujukan.
Tidak semudah omongan, "Mengecapi iman berlaku andai kita mengenal Tuhan".
Percayalah, kesulitan dan kesedihan itulah perjuangan. Sedang nikmat ganjaran dan kegembiraan itu adalah kemanisan yang ingin kita rasakan.
Wahai Si Musafir Hina dibumi Tuhan...
Aku juga adalah insan.
Insan yang tak terlepas dengan ujian.
Insan yang sentiasa bergantung denganNya yang memiliki tiap perlindungan.
Tidak bererti, nasihat dan ungkapan kekuatan yang sering ku lahirkan, menggambarkan aku ini hamba yang patuh pada perintah dan sentiasa menjauhi laranganNya.
Aku juga seperti kalian. Seorang insan yang sentiasa memohon pimpinan.
Wahai Si Musafir Hina dibumi Tuhan...
Ketahuilah oleh mu, tiap dari kita ini sedang menempuhi perjalanan dunia.
Tiada pengecualian pada diri yang punya jasad dan roh. Selagi bercantum keduanya, selagi itulah perjalanan ini dilalui.
Namun, sedarkah kita hanya sedikit bilangannya yang mahu mengambil peduli untuk memahami perjalanan yang Allah aturkan ini?
Berbahagialah pada hati yang ingin memahami.
Bergembiralah pada jiwa yang sedang melayari.
Andai dalam pelayaran ini, diri diuji dengan lambungan ombak hingga ada ketikanya terlepas habuan yang telah kita perolehi, jadikanlah SABAR dan SYUKUR itu sahabat pada diri.
Adakala melalui sebuah kehilangan kita akan lebih memahami erti sebenar satu penghargaan.
Dan melalui kebahagiaan dan kesenangan bisa melucutkan rasa kesyukuran pada sebuah kenikmatan.
Inilah kita, manusia yang hanyalah hamba.
Terlupa dan terleka dengan ujian dunia.
Termakan hasutan dalam kita memohon pimpinan dariNya.
Astaghfirullah...
Sesungguhnya, bermusafir dibumi Tuhan punya kepayahan yang dihujungnya menjanjikan kedamaian.
Berusahalah, kerana Sang Pencipta tidak pernah memungkirinya.
Ada bahagia yang menanti kita disana.
Ada penawar disetiap kelukaan dalam perjalanan si musafir hina.
Andai hari ini, kita ditemani dengan titisan jernih dipipi, hanya kerana ingin mencapai redha dan janjiNya, tangisilah ia dengan penuh cinta.
Moga Rahmat dan Cinta dariNya sentiasa mengiringi perjalanan si musafir hina dibumi Tuhan... aamiin Ya Rabbal'aalamiin.
"Allah, Engkau dekat penuh kasih sayang.
Takkan pernah Engkau biarkan hambaMu menangis..."
Subhanallah.
˳Azrina Abu Bakar ˳
1 comment:
-_-
Post a Comment