Kita Hanyalah Hamba

Sesungguhnya...

tiada harapan selain ALLAH...
tiada idola selain RASULULLAH...
tiada kata seindah AL-QURAN...
tiada jalan selurus AS-SUNNAH...
tiada perjuangan selain ISLAM.
Showing posts with label AKU HAMBA. Show all posts
Showing posts with label AKU HAMBA. Show all posts

Friday, February 21, 2014

Hijrahkan Aku Bersama HidayahMu..



Bismillahirrahmanirrahim..


Berat benar rasa hati ingin melangkah pergi.
Meninggalkan mereka yang membawa diri ini menuju jalan mencari SyurgaNya.
Bersama mereka begitu banyak kemanisan yang Allah berikan.
Bersama mereka begitu banyak pelajaran yang menjadi bekal untuk aku melayari sisa kehidupan.

Ya Allah..
PercaturanMu sentiasa yang terbaik pada diri.
Penetapan takdirMu sentiasa ada hikmah yang tersembunyi.

Hidayah yang Kau tebarkan pada diri menjadikan aku seperti hari ini.
Nikmat terindah ini tidak sekali-kali akan ku abaikan.
Sekalipun, ada waktunya diri ini seperti tergelincir.
Namun, aku tahu.. pautan hatiku bersamaMu menjadikan aku kembali menyusuri jalan hidayah ini.

Allahumma Ya Allah..
Biarkan aku membawa setiap detik keindahan ini bersama..
Biar semua yang istimewa ini menjadi panduan untuk aku memiliki makna Istiqamah pada diri.

Allahumma Ya Allah..
Andai takdirMu menjadikan hijrah ku kali ini lebih baik untuk aku terus berada disini.. aku redha.
Andai takdirMu juga menjadikan aku hamba yang lebih bertaqwa.. aku benar-benar mahukannya.

Allahumma Ya Allah..
Berilah pimpinanMu dimana saja aku berada.
Berilah keredhaanMu walau apa jua situasi yang bakal ku tempuhi.

Sesungguhnya, jalan taqwa itu menjadi dambaan dihati.
Dan SyurgaMu menjadi impian disanubari.. aamiin Ya Rabbal'aalamiin.

~ Doakan penghijrahan Si Pujangga Yang Bernama Hamba ini.. Moga Redha Allah sentiasa bersama kita.. Insyaa Allah ~



˳Azrina Abu Bakar  ˳

Friday, September 6, 2013

Bisikan Rindu Si Pujangga Berdosa..


Lama benar rasanya jari ini tidak menari.
Dihati hanya bisa menukilkan kata-kata yang tidak bersuara.
Dalam diam ada bicara yang tidak didengari ditelinga.
Dalam sayu pandangan mata ada luahan yang tersimpan kemas didalam dada.

Ya Allah..

Terkadang bicara hati ini lebih membahagiakan..
kerana disetiap untaian kata-kata terukir namaMu.
Malah ianya lebih mendamaikan..
kerana bisikan bicara ini sentiasa mengagungkanMu.

Biar tiada yang mendengar.
Biar tiada yang tahu apa yang tertulis diqalbu.

Hanya Si Pujangga Berdosa ini yang mengerti
Apa yang Kau lakarkan jauh disanubari...

Allahu Allah.



˳Azrina Abu Bakar  ˳

Friday, March 1, 2013

Dia Yang Bernama 'Tuhan'...


Pernah suatu waktu, diri ini begitu takut ditinggalkan.
Memikirkan tiada lagi kekuatan.
Tiada lagi keindahan.

Rupa-rupanya, saat takut kehilangan diri terlupa akan sebuah keagungan.
Keagungan yang tak pernah meninggalkan.
Keagungan yang memberikan kekuatan.
Keagungan yang menciptakan keindahan.

Allahu Akbar!

Dalam meratapi kehilangan yang tidak menguntungkan,
Dia pertemukan aku dengan sebuah kebenaran.
Kebenaran yang membawa makna sebenar sebuah kehilangan.
Kebenaran yang akhirnya mengenalkan aku denganNya yang bernama Tuhan.

Subhanallah.




˳Azrina Abu Bakar  ˳

Tuesday, January 29, 2013

Bila Hati Ini Rapuh...


Bila hati ini rapuh
Mudah benar mengeluh
Walau jemari tidak lumpuh
Kaki melangkah utuh
Namun, jauh disudut hati terasa luluh
Tewas dengan ujian yang berlabuh...
Astaghfirullah...

Bila jiwa ini runtuh
Iman tidak lagi teguh
Tidak mahu patuh
Menurut nafsu membisikkan.. aduh!
Astaghfirullah...

Ya Allah,
Saat ini terasa diri hampa
Untuk kesekelian kalinya
Rasa kecewa
Hilang segala redha...

Ya Allah,
Saat ini terasa begitu berdosa
Kekuatan yang ada bagai direntap dan hilang entah kemana
Hanya bersamaMu mohon diberi daya
Agar Nur yang hilang kan bersinar semula...
aamiin.. aamiin Ya Rabbal'aalamiin.



˳Azrina Abu Bakar  ˳

Monday, December 17, 2012

Pesan Hamba Untuk Hamba V...



Tugas kita sebagai hamba perlu USAHA dan BERDOA.
Maka akan wujudlah TAWAKAL dihujungnya.
Tiada makna bertawakal jika tiada usaha.
Begitu juga andai tidak berdoa, hanya melahirkan sifat sombong disisi Allah Yang Maha Esa.

Siapa kita yang mahu bertawakal tanpa usaha dan doa?
Hanya mahu berserah sedang nafas dan upaya diberi percuma dengan izin dariNya.

Tidakkah terpalit rasa malu pada diri yang bergelar hamba?
Malu didunia mungkin tidak terasa.
Sebaliknya, malu saat bertemuNya tidakkan mampu lagi untuk bersembunyi walau disebalik sehelai daun cuma...

Astaghfirullah.

Muhasabah... JOM!


Moga Allah redha..



˳Azrina Abu Bakar  ˳

Monday, October 15, 2012

Labbaik Allahumma Labbaik...



Labbaik Allahumma Labbaik,
(Kami memenuhi dan akan melaksanakan perintah-Mu ya Allah)

Labbaika la syarika laka labbaik, 
(Tiada sekutu bagi-Mu dan kami insya Allah memenuhi panggilan-Mu)

Inna al hamda wa an ni’mata laka wa al mulka la syarika laka. 
(Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan begitu juga kerajaan adalah milik-Mu dan tidak ada sekutu bagi-Mu) 

:'(

---------------------------------

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, dalam rahmat hujan pagi ini, Allah beri kelancaran dalam urusan diluar. Selesai banyak perkara dalam dalam masa 2 jam (lebih kurang).

Yang paling menggembirakan urusan pendaftaran haji di Lembaga Tabung Haji dah selesai. 
Alhamdulillah.

Moga selepas ini, perjalanan untuk menjadi Tetamu Allah juga dipermudahkan... aamiin Ya Allah.

Masa memandu balik tadi, airmata mengalir.

Mengenangkan dosa-dosa yang dilakukan.

Mengenangkan sampai waktu ini, Allah memakbulkan niat untuk mendaftar sebagai jemaah haji.

Dan airmata semakin laju, mengenangkan Tanah Suci dan Kota Madinah yang begitu menjadi cita-cita untuk menjejakinya.

Ya Allah, ampunilah dosa-dosa hambaMu ini.
Bersihkan dan sucikanlah hati-hati kami.
Moga cita-cita yang berserta dengan cinta ini akan Engkau perkenankan.
Sesungguhnya tiada daya dan upaya kami melainkan hanya denganMu Ya Allah, wahai Tuhan sekelian alam.

:: Luar kereta langit menangis, dalam kereta hamba hina ini menangis... namun hati tersenyum bila terpandang tahun ramalan... 2053! 

Moga niat suci ini Allah permudahkan sekalipun saya tahu usia saya akan diambilNya semula bila-bila saja... Allahu Allah..^_^ ::

Sahabat-sahabat, (pada yang belum)... JOM daftar haji! ;)


Moga Allah redha..



˳Azrina Abu Bakar  ˳

Tuesday, October 2, 2012

Puisi Hati Berbisik Lagi...


Bismillahirrahmanirrahim...

Puisi hati ini berbisik lagi
Bersama sepasang mata yang memerhati
Bersama sepasang telinga yang meneliti
Gerak jari setuju untuk menari...

Puisi hati ini bicara sendiri
Tentang diri
Tentang sepotong hati
Menangis dalam sendu dosa sendiri...

Ya Rabbul'Izzati...
Dalam derapan kaki
Terpalit lagi titik hitam dihati
Mengubah iman menjadi dengki
Membawa dengki bersama iri...

Ya Rabbul'Izzati...
Tetapkanlah iman yang cuba kulakarkan
Tidak bermakna andai masih selalu berdosa
Tiada tercapai impian membina taqwa
Hanya yang lahir seorang hamba yang selalu berdosa...

Astaghfirullah... :'(



˳Azrina Abu Bakar  ˳

Tuesday, June 19, 2012

Sebuah Rehal Kayu...

(Alhamdulillah... nukilan yang ke 7, disiarkan dilaman ILUVISLAM.COM pada bulan 7 (16 Julai 2012), juga merupakan bulan kelahiran Si Pujangga yang bernama Hamba :D )


Ini rehal kayu.


Rehal kayu kesayangan saya.


Rehal ini adalah teman setia saya setiap kali hadir ke kuliah atau pengajian ilmu.


Mungkin pada orang lain, tiada apa-apa nilainya.


Tapi, buat diri saya ianya sangat berharga.


Ketiadaan rehal kayu saat dikuliah terasa seperti hilang sebelah tangan atau kaki.


Itulah yang saya rasakan jika saya tertinggal rehal kayu yang selalu setia menemani.


Bercerita tentang rehal kayu ini, saya membelinya saat saya mula berjinak-jinak mengikuti kelas pengajian Al Quran (Kelas Tajwid).


Pada awalnya, saya rasakan rehal kayu ini perlu kerana saya mahu meletakkan Al Quran lebih tinggi dari paras lutut apabila saya duduk.


Dan ternyata, memuliakan Al Quran itu, adalah salah satu punca untuk Allah memberikan saya lebih ruang mendekatiNya.


Subhanallah. Alhamdulillah.


Perkara yang pada mulanya saya lakukan, kerana mahukan keselesaan, rupa-rupanya punya rahmat disisi Allah.


Saya hanya membawa rehal kayu ini ketika menghadiri pengajian Al Quran.


Pada kuliah-kuliah yang lain, seperti Fadhu Ain, kelas Tafsir Al Quran & Hadis dan kelas Bahasa Arab tidak saya menggunakannya.


Hinggalah pada suatu hari, Allah menggerakkan tangan saya mencapai rehal kayu ini seiring dengan beg untuk ke kuliah Fardhu Ain.


Terdetik juga dihati saya, "malu pulak rasanya nak bawa rehal ni bersama".


Perasaan malu ini berlegar-legar diruang minda.


Bukan apa, rasa malu jadi tatapan mata sahabat-sahabat yang lain kerana tidak seorang pun dari mereka yang membawa rehal ini bersama.


Namun, setelah akal dan hati bersatu mengatakan, "malu tak bertempat! kan mudah kalau ada rehal ni nanti... senang nak letak buku dan menulis".


Saya segera memadamkan kata-kata negatif yang hampir saja mematikan niat untuk membawa rehal kayu ini bersama saya.


Bermula dari hari itu, saya mula merasakan betapa rehal kayu ini memberi saya kesenangan untuk mencatat nota-nota dan meletakkan buku sepertimana saya memuliakan Al Quran.


Hari demi hari, rehal kayu ini sentiasa setia menemani setiap kali kaki melangkah ke tempat pengajian.


Dan setelah hampir setahun hanya saya seorang yang membawa rehal kayu ini, tiba-tiba seorang sahabat bersuara, "Suka tengok ina bawa rehal ni bersama. Nampak mudah.." katanya sambil tersenyum.


Saya turut sama tersenyum. "Memang ianya sangat memudahkan saya dalam menuntut ilmu... Alhamdulillah".


Masih ingat lagi, bertahun-tahun (lebih kurang 5 tahun) saya ke hulu ke hilir bersama rehal kayu ini hanya dengan menaiki motorsikal.


Ada juga makcik-makcik yang pernah menegur saya, "buat apa bawa rehal tu, bahaya laa naik motor macam tu..".  


Saya hanya senyum pada mereka seraya berkata "Insyaallah, tak apa-apa".


Mahu memberi hujjah bahawa rehal ini terlalu berguna pada saya rasa seperti tidak mampu.


Yang penting saya bahagia.. :)


Akhirnya, dengan izin dari Allah, saya beroleh lesen memandu kereta.


Alhamdulillah.


Satu peningkatan pada diri.


Dan lebih memudahkan saya untuk hadir ke kuliah-kuliah dengan lebih selamat.


Malah, saya rasa rehal kayu saya tidak lagi tersiksa kerana tersangkut di'handle' motorsikal saya seperti dulu.


Kasihan rehal kayu.


Tapi sekarang, rehal saya sudah mampu tersenyum agaknya, kerana damai 'aircond' kereta yang dirasakannya... :)


Apa yang saya perasan juga, sudah ada dua tiga orang sahabat mula membawa rehal kayu seperti saya.


Tak kurang juga bertanya dan minta saya belikan rehal kayu yang serupa dengan saya.


Alhamdulillah, saya telah membantu sahabat-sahabat yang inginkan rehal kayu ini untuk membelinya tanpa mengambil apa-apa komisen.


Mereka hanya membuat pesanan.


Apabila pesanan diterima saya membuat penghantaran terus ke rumah.


Allah beri keizinan pada saya untuk memandu kereta, dan dengan kemudahan ini, saya manfaatkan dengan apa yang saya mampu.


Niat saya hanya ingin membantu sahabat-sahabat.


Menjadikan mereka bersemangat seperti saya untuk hadir ke kuliah agama sekaligus dapat mengimarahkan surau-surau dan tempat-tempat pengajian.


Ada juga yang membeli kerana ingin menghadiahkan pada keluarga.


Subhanallah.


Rehal kayu yang dulunya susah untuk dilihat bersama jemaah yang hadir ke surau, kini tidak lagi menjadi perkara luar biasa.


Malah bermacam-macam rupa yang ada selain dari rehal kayu seperti saya.


Suatu pagi, datang seorang makcik ditempat saya berniaga, dia ingin membuat pesanan rehal kayu.


Dia menghulurkan wang secukupnya.


Tapi, saya menolak.


"Makcik boleh bayar bila saya hantarkan pada makcik nanti."


Saya senyum.


Makcik itu juga tersenyum.


Katanya, dia tidak sabar untuk miliki rehal kayu seperti yang selalu saya bawa.


"Mudah nak mengaji".


Sekali lagi saya senyum. Suka dengan semangat yang ada padanya.


"Insyaallah makcik.  Bila dah sampai nanti saya akan terus hantar ke rumah."


Sebelum berlalu pergi, makcik ini menghulurkan saya sebuah bungkusan seperti sampul duit raya.


Saya tergamam. Rasanya sudah saya jelaskan tentang bayarannya. Tapi kenapa dia masih juga menghulurkan sesuatu, bezanya bersampul.


"Eh, apa ni makcik?"


"Nah, ini bukan duit rehal, tapi ini hadiah dari makcik. Sebelum ni, kawan-kawan yang dah beli bagitau kamu  langsung tak nak terima apa-apa komisen dari bantuan kamu mendapatkan rehal untuk mereka. Kamu tahu tak, kerana kamu bawa rehal selalu, itu yang mendorong sahabat yang lain untuk membeli dan menggunakannya. Ini hadiah dari makcik untuk kamu. Atas 'dakwah' penggunaan rehal dan jasa kamu mendapatkan rehal untuk makcik dan sahabat-sahabat makcik yang dah tak berdaya nak ke kedai membelinya. Kamu mesti terima, makcik dah niat nak hadiahkan ini pada kamu. Makcik ikhlas. Makcik suka orang muda yang cari ilmu dan manfaatkan hidupnya untuk orang lain. Kamu boleh jadi contoh... Insyaallah".


Allahu Akbar!


Waktu itu, hati saya berdebar.


Takut hanyut dalam pujian.


Malah airmata hampir saja jatuh, kerana selama ini tidak sangka hanya kerana Sebuah Rehal Kayu yang saya bawa mampu menjadi contoh dan dapat dimanfaatkan pada yang lain.


Hadiah dari makcik itu tidak mampu saya tolak.


Tidak kisah apa isi atau nilainya, namun disebalik hadiah yang diberikan pada saya memberikan saya satu pengertian yang selama ini selalu saya dengar...


Sabda Rasulullah SAW (bermaksud);


Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah , jika ia tidak dapat berbuat demikian , maka hendaklah ia berusaha sendiri yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan yang demikian ia dapat bersedekah, jika ia tidak sanggup, maka hendaklah ia menolong orang yang susah yang memerlukan bantuan, jika sekiranya ia tidak dapat berbuat demikian, maka hendakah ia menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan, jika ia tidak dapat berbuat demikian juga, maka hendaklah menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah dianggap sedekah.


[Riwayat Ahmad]


Sesungguhnya Firman Allah itu benar. Sabda Rasulullah itu adalah tunjuk ajar dan peringatan.


Dan ketahuilah... perjalanan dalam mencari redhaNya itu penuh nikmat yang selalu tidak kita sedar...


MasyaAllah...


˳Azrina Abu Bakar  ˳

Thursday, April 26, 2012

Pautlah Hatiku Ini...


Bismillahirrahmanirrahim...

Terasa seperti mahu mencoretkan isi hati

Mahu meluahkan segalanya yang tertanam disanubari

Namun, setiap kali jari ini ingin ku tari

Langkah tarinya serta-merta terhenti.

Seolah memberitahu pada hati

Mengapa mahu meluahkan pada dia yang tidak mampu memahami?

Seolah memberi pesan pada diri

Mengapa saat ini goyahnya tauhid pada Ilahi?

Ya Allah...

Setiap kali bicara begini membidas dihati,

Setiap itu juga aku mula membiarkan titis jernih ini mengalir dipipi...

Ya Allah...

Dalam malu untuk aku membicarakan dosa ini padaMu,

Dan sejauh mana aku cuba sembunyi,

Lebih jauh lagi Engkau Mengerti.

Allahumma Ya Allah...

Usah biar aku berlari dengan malu ku sendiri.

Pimpinlah aku kembali

Pautlah hati yang sedang menangis ini

Yang minta untuk dilindungi

Yang merayu untuk dikasihani...

Allahu Allah.

˳Azrina Abu Bakar  ˳

Saturday, April 14, 2012

Bila Jari Ini Menari...



Menulis itu seperti mengembara...


Bermula, berada ditengah-tengahnya, dan mengakhiri sebuah cerita...


Menulis itu melahirkan isi hati...


Tidak hanya isi hati kita, namun terkadang kita menulis isi hati mereka...


Menulis, bukan hanya bercerita...


Sebaliknya, kita menyampaikan kata yang tak terucap ditelinga...


Menulis... menulislah selagi diberi daya...


Kerana bersamanya, ada cinta...


Cinta Hati yang bernama Ilahi...


Allahu Allah...


˳Azrina Abu Bakar  ˳

Saturday, April 7, 2012

Kita Memandang Langit Yang Sama...



Katanya,
Memandang langit itu punya cerita...
Cerita tentang satu kuasa
Cerita hebat tentang Dia Yang Mencipta...


Kataku,
Memandang langit itu punya rasa syahdu...
Punya rasa ingin mengadu
Punya rasa ingin memberitahu...


Subhanallah...
Dua bicara yang berbeza
Dari jiwa si hamba yang selalu alpa...


Namun, saat memandang langit ini
Satu rasa yang sama menjadi kurnia
Rasa cinta pada Sang Pemilik Nyawa
Rasa cinta yang tidak pernah dipaksa...


Semuanya kerana jiwa kita jiwa hamba
Roh kita sentiasa ingin bersamaNya...


Masyaallah.

˳Azrina Abu Bakar  ˳

Wednesday, February 29, 2012

La Tahzan...


Rasa hiba saat dalam mujahadah mencari iman, dibelenggu dengan perasaan benci dan sakit hati.

Bersungguh-sungguh mohon pada Allah, agar dijauhkan dari perasaan begini.

Dalam situasi ini, muhasabah dan diam itu adalah lebih baik.

Bila dikuasai hasutan, hati ini seperti mahu pecah melepaskan rasa marah.

Namun bila mengingatkan akhlak Rasulullah, diri kembali mencari-cari sifat mahmudah.

Ya Allah, permudahkanlah kesulitan ini.

Tiap yang berlaku Allah jua penentu.

Aku ini hanyalah hamba yang selalu terburu-buru.

Astaghfirullah.

˳Azrina Abu Bakar  ˳

Tuesday, February 7, 2012

Sungguh, Aku Tidak Mahu!


Semakin banyak yang Engkau limpahkan
Semakin banyak pula ujian jadi kiriman
Saat bertemankan iman
Redha menjadi kekuatan
Saat melatah dengan hasutan
Terlucut sebuah kesabaran

Allahumma Ya Allah,

Lemahnya jiwa
Akal turut sama tercela
Roh meronta-ronta
Mohon dilepaskan
Minta lari dari hasutan

Sungguh, aku tidak mahu!

Membiar nafsu menjajah diriku
Bimbang nikmat dari Mu
Terlepas satu persatu
Tertewas pujukan hati palsu
Dan iman berkecai menjadi debu

Sungguh, aku benar-benar tidak mahu!

˳Azrina Abu Bakar  ˳

Wednesday, February 1, 2012

Bila Langit Menangis


Bila Langit Menangis...
Jemari mula melakar sinis
Menulis tiap bisikan yang ada disebalik hati...


Bila Langit Menangis...
Rasa terpinggir
Dalam ribut yang ditemani teriakan sang petir...


Bila Langit Menangis...
Tiada lagi rahsia yang terukir
Terbongkar bersama bicara dibibir...


Bila Langit Menangis...
Meluahkan segala isi hati
Bercerita bersama titis jernih dipipi...


Bila Langit Menangis...
Melimpah-limpah tak tertakung
Mengalir tanpa mahu selindung...


Bila Langit Menangis...
Jiwa Pujangga ini mula mengemis
Pada Sang Pencipta yang membiarkan
Langit untuk terus menangis
Dan titis jernih yang tak pernah habis...


Astaghfirullah...
Dalam damai ini
Saat langit mula menangis...

˳Azrina Abu Bakar  ˳

Thursday, January 19, 2012

Dia Maha Benar




Terkadang, saat hati pilu
Ingin rasanya berkongsi sendu
Namun, bijaksana sang hati
Menjadikan aku berdiam diri...


Terkadang, saat tercari-cari diri
Ingin rasanya berpaut padamu yang sentiasa memberi
Namun, kecerdikan akal mengawasi
Menjadikan aku terlalu berhati-hati...


Melodi hati ini, sentiasa berfikir sendiri
Membawa aku untuk terus hampiri
PadaNya Yang Maha Memahami
Yang Senantiasa Mengerti


Dan akhirnya ku tahu
Dia yang selayaknya untuk ku luahkan apa yang terbuku
Kerana Dia Maha Benar
Tidak ada hati yang akan tercalar...


Masyaallah.


˳Azrina Abu Bakar  ˳

Wednesday, January 18, 2012

Kala Sujud Itu...



Teman terbaik kala sunyi adalah Sujud.


Ketika kita sujud hilang semua keegoan.


Ketika kita sujud terlerai segala kebongkakkan.


Ketika kita sujud terluah segala pujian.


Ketika kita sujud terlahir sebuah permohonan.


Sesungguhnya dalam Sujudku dan Sujudmu ada rindu yang terpendam diQalbu.


Dalam Sujudku dan Sujudmu jua tercetus cinta pada Yang Satu.


Malah yang lebih istimewa, kala Sujud itu Allah begitu hampir denganku dan dirimu...


Allahu Akbar !


˳Azrina Abu Bakar  ˳

Monday, January 9, 2012

Sendu Bahagia...



Hari ini,
Bila aku tersenyum sambil menangis
Aku bahagia...


Bersama titis jernih yang mengalir
Ada sisa-sisa dosa yang dulunya tersimpan dalam diri


Bersama senyuman hiba yang terukir
Ada sinar cahaya yang dulunya tidak pernah hadir


Hari ini,
Bila aku tersenyum sambil menangis
Aku gembira...


Disebalik kelopak mata yang basah
Tiada terbuku rasa resah


Disebalik bibir mungil yang merekah
Terucap pujian Subhanallah...


Ya Allah,
Sesungguhnya Kau titipkan aku sebuah tangisan yang begitu indah...
Allahu Akbar!




˳Azrina Abu Bakar  ˳

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...