Kita Hanyalah Hamba

Sesungguhnya...

tiada harapan selain ALLAH...
tiada idola selain RASULULLAH...
tiada kata seindah AL-QURAN...
tiada jalan selurus AS-SUNNAH...
tiada perjuangan selain ISLAM.

Saturday, March 31, 2012

Wahai Sahabat Yang Punya Cinta Dihati...


Assalamu'alaikum sahabat-sahabat yang setia melayari ruangan ini...

Moga tiap titipan dapat kita manfaatkan bersama... Insyaallah.


Wahai sahabat yang amat saya kasihi...

Tiap denyut nadi yang masih diberi kurnia dari Allah pada diri, sentiasa saya dahulukan dengan ucapan Alhamdulillah.

Begitu terima kasih pada Dia yang masih memberi izin untuk bernyawa.

Beginilah saya.

Seorang insan hina disisiNya.

Seorang insan yang tiap waktu bertatih untuk menjadi hamba.


Wahai sahabat yang amat saya hormati...

Saat kita sama-sama melayari titipan diruangan ini, letakkanlah Dia pada posisi yang paling hampir dihati.

Kerana Dialah, kita disini.

Kerana Dialah, kita mampu berkongsi.

Alhamdulillah.

Hanya ini ucapan terindah yang mampu diluah.


Wahai sahabat yang punya cinta dihati...

Ketahuilah bahawa cinta ini bukanlah cinta untuk kita miliki,

tetapi cinta ini adalah cinta yang perlu kita beri

Cinta ini bukan hanya untuk dikasihi,

tetapi cinta ini adalah ruang untuk kita belajar mengasihi...


Wahai sahabat yang diberi cinta untuk dihayati...

Andai tewasnya kita pada cinta yang beralaskan dunia

Maka perjalanan kita sedang menuju ke lembah yang hina

Sebaliknya, mengakhiri dunia saat berseminya cinta bersama Sang Pencipta

Menjadikan kita hamba yang punya bahagia selama-lamanya...

Insyaallah.

˳Azrina Abu Bakar  ˳

Thursday, March 15, 2012

Tinta Hati Si Pujangga...



Titipan ini
Bukan imaginasi kala sepi
Tapi lahirnya dari hati yang tulus suci...


Bukan  sekadar luahan hati
Tapi ianya Tinta Hati Si Pujangga yang selalu sendiri...


Bisik Si Pujangga dalam dingin pagi ini...


Jika dia tidak mampu jadi yang terbaik buat saya
Saya mahu jadi yang terbaik untuk dia
Bukan kerana mahu dihargainya
Tapi kerana saya takut Allah murka...


Dia pinjaman terindah dari Allah buat saya
Menjadi amanah untuk dipelihara dengan sebaiknya...


Dihati saya selalu berkata,


"Jika sampai waktunya Allah mengambilnya semula, akan saya serahkan roh dan jasadnya sepertimana sempurnanya dia saat Allah menitipkan dia buat saya".


Dihati saya juga selalu berkata,


"Jika saya yang dikembalikan dahulu pada Pemilik Nyawa, biarlah saya pergi saat saya bergelar hamba yang taat padaNya. Saat bersemadinya jasad dan roh ini, saat itu saya mahu dihargai, tidak hanya ditangisi".


Ya Allah, Ya Malik Ya Qudus...


Perkenankanlah Tinta Hati Si Pujangga ini...
Hanya selayaknya padaMu ku meminta
kerana tiap kekuatan dan keizinan itu hanya Engkaulah Pemiliknya...
aamiin Ya Rabbal'aalamiin...


˳Azrina Abu Bakar  ˳   

Wednesday, March 14, 2012

Tatkala Cita-cita Menjadi Cinta...



Saat kita bercita-cita
Kita tidak merasakan cinta
Yang ada hanyalah sebuah harapan cuma...


Saat cita-cita bertukar menjadi cinta
Manisnya harapan mula menjelma
Hingga mampu tersenyum dengan sepuasnya...

Tatkala cita-cita menjadi cinta
Ada damai yang didamba
Ada bahagia yang bisa dirasa...


Satukanlah cita-cita dan cinta
Bersama syukur
Pada Sang Pencipta
Yang mengizinkan kita untuk merasakannya...


Alhamdulillah.

˳Azrina Abu Bakar  ˳   

Pesan Hamba Untuk Hamba III



Bila kita tahu kita berdosa
Menangislah memohon ampun padaNya...


Sekalipun kita tahu Allah sentiasa memberi keampunan pada hamba-hambaNya... 
Usah kita ulangi perkara yang mengundang dosa... 


Berusahalah...  
Kerana kita tidak tahu dosa yang mana yang telah diampunkanNya... 


Kita ini hanyalah hamba 
HambaNya yang selalu berdosa... 


Astaghfirullah...


˳Azrina Abu Bakar  ˳  

Menangislah...



Bila hari ini saya menangis
Saya teringatkan tangisan dia yang pernah menangis pada hari semalam
Dihatinya lebih suram dan kelam
Hidupnya hampir saja tenggelam dan terbenam...


Bila hari ini hati menjadi sayu
Saya teringatkan kesyahduan dihati ibu saat abah pergi kerana janjinya dengan Ilahi 
Saya termanggu
Melihat sekujur tubuh yang kian kaku...


Tidak seperti hari kelmarin
Bila menangis, saya terlupa tentang yang lain
Tak pernah belajar mengapa saya menangis
Tak berfikir kenapa Allah kurniakan saya rasa mahu menangis...


Tapi, bila hari ini saya menangis dengan penuh syahdu
Saya semakin tahu...


Tangisan itu satu luahan
Tangisan juga penuh kejujuran
Tangisan sebenarnya memberi perkhabaran
Bahawa jiwa dan roh punya kesilapan...


Tangisan tidak pandai berdusta
Walau tak terucap bicara
Namun bersama tangisan
Ada sebuah cinta
Ada sebuah harapan dan cita-cita...


Percayalah...
Tangisan hari ini
Menjadikan kita seorang hamba
Jika kita tangiskan tanpa alpa
Dan penuh cinta...


Menangislah...
Kerana dihujungnya ada bahagia bersama Dia
Itulah janji Sang Pencipta yang tak pernah buat hambaNya kecewa...
Subhanallah.

˳Azrina Abu Bakar  ˳ 

Tuesday, March 13, 2012

Kerana Bicara Cintanya...


Bicaranya buat hati ini menangis

Menangis kerana dia sentiasa menitipkan kata cinta buat Sang Pencipta

Terkadang hati hamba ini jadi keliru

Keliru kerana nafsu

Nafsu yang sentiasa dibelenggu hasutan syaitan yang sentiasa memburu

Keliru membezakan kata cinta pada Yang Satu

Rupa-rupanya keliru itu menjadikan aku ini hamba yang belajar untuk tahu

Tahu bahawa diri sentiasa diuji

Tahu bahawa nikmat Allah itu ada dalam semua situasi

Allahu Allah...

Kerana titipan cinta darinya

Buat aku sentiasa belajar untuk menjadi hamba...

Allahu Allah...

˳Azrina Abu Bakar  ˳

Tuesday, March 6, 2012

Hidayah Itu Cinta DariNya...


Malam itu langit menangis lagi.

Kedinginan setia menemani diri.

Aku memandang luar jendela.

Cermin yang basah tidak dapat ku buka.

Hanya memandang titisan yang mengalir diluar jendela yang berkaca.

Dalam suasana basah dan sepi ini, hati sedikit bosan.

Terpaku mata ini memandang komputer riba kesayangan.

Sunyi.

Jemari juga seperti kaku untuk menari.

Perlahan-lahan nafas ini ku hela.

Saat sepi begini, hati dan akal seakan berbicara dengan bahasanya sendiri.

Terasa keriuhan perbualan dalam jasad.

Tiada siapa yang mungkin mengerti selain aku dan Dia Yang Sentiasa Memerhati.

********************

Tiba-tiba kesunyian yang menguasai, disapa dek email yang baru ku terima.

Teruja mata ini.

Pantas tangan mencapai 'mouse'.

'Klik' pada 'inbox' tanpa perlu diperintah.

Tertera nama pengirim email.

Tersentak sang hati.

Lama juga sahabat ini tidak bertanya khabar.

Apa agaknya yang mencetuskan dia untuk menulis pada ku kali ini?

Pelbagai persoalan yang bermain diruang fikiran.

Bertamu rasa tidak sabar untuk membaca kiriman email darinya.

********************

Assalamu'alaikum...

Maaf, kerana agak lama menyepi.  Bukan menyombong diri.  Tapi situasi dan ruang emosi sedikit membatasi untuk Mia mengirim email buat akak.  Mia doakan akak sentiasa dalam peliharaan Allah SWT... Insyaallah.

Akak...

Semalam Mia nampak akak.  Dari jauh.  Tak sempat Mia nak melambai.  Waktu tu, Mia diseberang jalan dekat dengan masjid berhampiran rumah akak.  Mia dari tempat kerja kak. 'On the way' nak balik.  Mia nampak akak bersama 3 orang lagi sahabat akak diperkarangan masjid.

Subhanallah... tak tahu kenapa kali ni, hati Mia seperti sayu saat memandang akak dari jauh.  Mahu rasanya Mia turun dari kereta dan berlari memeluk akak erat-erat.

Akak...

Belum pernah Mia rasa seperti mana yang Mia rasakan waktu Mia nampak akak petang semalam.  Hati Mia jadi sayu sangat bila Mia tengok akak sekarang bertudung labuh.  Pandangan itu terlalu sempurna pada Mia.

Seorang kakak yang pernah Mia kenal, telah hijrahkan dirinya.  Ya Allah, kekuatan apakah yang telah Allah berikan padamu kakak?

Akak...

Mia menangis saat Mia terpandang akak semalam.  Hati yang selalunya begitu sukar untuk menangis, melimpahkan titis jernih dikelopak mata ini, hanya kerana memandang akak... seorang insan yang benar-benar Mia kagumi.

Akak...

Berkongsilah sesuatu dengan Mia.  Mia sangat perlukan kekuatan yang akak dapat.  Mia mahu seperti akak.  Tapi, Mia selalu rasa seperti tidak mampu.  Mia yakin akak mampu memimpin Mia.  Mia juga mahu menjadi wanita solehah, seperti mana akak.  Akak mahu bantu Mia kan?

Rasanya, sampai disini dulu.  Mia harap kiriman email ini, menjadi titik permulaan untuk Mia hijrahkan diri.  Doakan Mia yer kak.  Moga Allah permudahkan dan Istiqomah... Insyaallah.

Sayang dari MIA... wassalam.

*****************

Masyaallah.

Terkelu lidah.  Tiada kata-kata selain ucapan puji-pujian pada Yang Haq.

Indahnya kurnia dari Allah.

Seorang insan mampu menangis hanya kerana tudung labuh yang ku pakai.

Allahu Akbar!

Nikmat dari Allah yang tidak diberikan pada semua hamba-hambaNya.

Basah pipi ini, saat ku ulangi membaca kiriman email darinya yang ku panggil adik.

Langsung tidak merasa bangga pada diri, tetapi rasa kesyukuran yang tidak bertepi singgah dihati.

Ya Allah, benarlah hanya Engkau Maha Pemilih.

Engkau memilih hamba-hambaMu dalam pelbagai cara.

Ya Allah, tiada satu pun kebaikan yang ada ini milikku melainkan semuanya dengan izin dariMu.

Ketahuilah adikku Mia, petunjuk dan hidayah yang Allah berikan padamu itu lebih berharga dari apa yang kau lihat.

Akak yakin, kekuatan yang lebih pasti ada pada hati yang begitu lunak untuk bersama dengan Dia Yang Mencipta.

Hijrahkanlah dirimu wahai adikku.

Hijrahlah, menuju jalan kebaikan kerana disitu adanya redha dari Allah buat kita.

Mia, email Mia benar-benar mengundang hiba.

Hiba seorang hamba yang menangis kerana begitu kagum dengan apa yang dilimpahkah Sang Pencipta.

Hiba seorang hamba yang tak pernah sangka ada hidayah dari Allah melaluinya.

Hiba seorang hamba yang selalu merasa dirinya tidak mampu.

Tetapi hari ini, Allah memberikan khabar gembira melalui kiriman dari mu adikku...

Sesungguhnya hidayah Allah itu ada dimana-mana.

Hidayah itulah tanda kasih sayang Allah buat kita yang bernama hamba.
Hanya kita yang selalu alpa dan terleka.

Untuk Mia, akan segera akak balas kiriman email mu ini.

Moga bersamanya nanti ada rahmat dari Allah yang akan sentiasa memimpin kita hingga ke Syurga...

Insyaallah.

˳Azrina Abu Bakar  ˳
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...