Kita Hanyalah Hamba

Sesungguhnya...

tiada harapan selain ALLAH...
tiada idola selain RASULULLAH...
tiada kata seindah AL-QURAN...
tiada jalan selurus AS-SUNNAH...
tiada perjuangan selain ISLAM.

Tuesday, March 6, 2012

Hidayah Itu Cinta DariNya...


Malam itu langit menangis lagi.

Kedinginan setia menemani diri.

Aku memandang luar jendela.

Cermin yang basah tidak dapat ku buka.

Hanya memandang titisan yang mengalir diluar jendela yang berkaca.

Dalam suasana basah dan sepi ini, hati sedikit bosan.

Terpaku mata ini memandang komputer riba kesayangan.

Sunyi.

Jemari juga seperti kaku untuk menari.

Perlahan-lahan nafas ini ku hela.

Saat sepi begini, hati dan akal seakan berbicara dengan bahasanya sendiri.

Terasa keriuhan perbualan dalam jasad.

Tiada siapa yang mungkin mengerti selain aku dan Dia Yang Sentiasa Memerhati.

********************

Tiba-tiba kesunyian yang menguasai, disapa dek email yang baru ku terima.

Teruja mata ini.

Pantas tangan mencapai 'mouse'.

'Klik' pada 'inbox' tanpa perlu diperintah.

Tertera nama pengirim email.

Tersentak sang hati.

Lama juga sahabat ini tidak bertanya khabar.

Apa agaknya yang mencetuskan dia untuk menulis pada ku kali ini?

Pelbagai persoalan yang bermain diruang fikiran.

Bertamu rasa tidak sabar untuk membaca kiriman email darinya.

********************

Assalamu'alaikum...

Maaf, kerana agak lama menyepi.  Bukan menyombong diri.  Tapi situasi dan ruang emosi sedikit membatasi untuk Mia mengirim email buat akak.  Mia doakan akak sentiasa dalam peliharaan Allah SWT... Insyaallah.

Akak...

Semalam Mia nampak akak.  Dari jauh.  Tak sempat Mia nak melambai.  Waktu tu, Mia diseberang jalan dekat dengan masjid berhampiran rumah akak.  Mia dari tempat kerja kak. 'On the way' nak balik.  Mia nampak akak bersama 3 orang lagi sahabat akak diperkarangan masjid.

Subhanallah... tak tahu kenapa kali ni, hati Mia seperti sayu saat memandang akak dari jauh.  Mahu rasanya Mia turun dari kereta dan berlari memeluk akak erat-erat.

Akak...

Belum pernah Mia rasa seperti mana yang Mia rasakan waktu Mia nampak akak petang semalam.  Hati Mia jadi sayu sangat bila Mia tengok akak sekarang bertudung labuh.  Pandangan itu terlalu sempurna pada Mia.

Seorang kakak yang pernah Mia kenal, telah hijrahkan dirinya.  Ya Allah, kekuatan apakah yang telah Allah berikan padamu kakak?

Akak...

Mia menangis saat Mia terpandang akak semalam.  Hati yang selalunya begitu sukar untuk menangis, melimpahkan titis jernih dikelopak mata ini, hanya kerana memandang akak... seorang insan yang benar-benar Mia kagumi.

Akak...

Berkongsilah sesuatu dengan Mia.  Mia sangat perlukan kekuatan yang akak dapat.  Mia mahu seperti akak.  Tapi, Mia selalu rasa seperti tidak mampu.  Mia yakin akak mampu memimpin Mia.  Mia juga mahu menjadi wanita solehah, seperti mana akak.  Akak mahu bantu Mia kan?

Rasanya, sampai disini dulu.  Mia harap kiriman email ini, menjadi titik permulaan untuk Mia hijrahkan diri.  Doakan Mia yer kak.  Moga Allah permudahkan dan Istiqomah... Insyaallah.

Sayang dari MIA... wassalam.

*****************

Masyaallah.

Terkelu lidah.  Tiada kata-kata selain ucapan puji-pujian pada Yang Haq.

Indahnya kurnia dari Allah.

Seorang insan mampu menangis hanya kerana tudung labuh yang ku pakai.

Allahu Akbar!

Nikmat dari Allah yang tidak diberikan pada semua hamba-hambaNya.

Basah pipi ini, saat ku ulangi membaca kiriman email darinya yang ku panggil adik.

Langsung tidak merasa bangga pada diri, tetapi rasa kesyukuran yang tidak bertepi singgah dihati.

Ya Allah, benarlah hanya Engkau Maha Pemilih.

Engkau memilih hamba-hambaMu dalam pelbagai cara.

Ya Allah, tiada satu pun kebaikan yang ada ini milikku melainkan semuanya dengan izin dariMu.

Ketahuilah adikku Mia, petunjuk dan hidayah yang Allah berikan padamu itu lebih berharga dari apa yang kau lihat.

Akak yakin, kekuatan yang lebih pasti ada pada hati yang begitu lunak untuk bersama dengan Dia Yang Mencipta.

Hijrahkanlah dirimu wahai adikku.

Hijrahlah, menuju jalan kebaikan kerana disitu adanya redha dari Allah buat kita.

Mia, email Mia benar-benar mengundang hiba.

Hiba seorang hamba yang menangis kerana begitu kagum dengan apa yang dilimpahkah Sang Pencipta.

Hiba seorang hamba yang tak pernah sangka ada hidayah dari Allah melaluinya.

Hiba seorang hamba yang selalu merasa dirinya tidak mampu.

Tetapi hari ini, Allah memberikan khabar gembira melalui kiriman dari mu adikku...

Sesungguhnya hidayah Allah itu ada dimana-mana.

Hidayah itulah tanda kasih sayang Allah buat kita yang bernama hamba.
Hanya kita yang selalu alpa dan terleka.

Untuk Mia, akan segera akak balas kiriman email mu ini.

Moga bersamanya nanti ada rahmat dari Allah yang akan sentiasa memimpin kita hingga ke Syurga...

Insyaallah.

˳Azrina Abu Bakar  ˳

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...