Kita Hanyalah Hamba

Sesungguhnya...

tiada harapan selain ALLAH...
tiada idola selain RASULULLAH...
tiada kata seindah AL-QURAN...
tiada jalan selurus AS-SUNNAH...
tiada perjuangan selain ISLAM.

Wednesday, February 29, 2012

La Tahzan...


Rasa hiba saat dalam mujahadah mencari iman, dibelenggu dengan perasaan benci dan sakit hati.

Bersungguh-sungguh mohon pada Allah, agar dijauhkan dari perasaan begini.

Dalam situasi ini, muhasabah dan diam itu adalah lebih baik.

Bila dikuasai hasutan, hati ini seperti mahu pecah melepaskan rasa marah.

Namun bila mengingatkan akhlak Rasulullah, diri kembali mencari-cari sifat mahmudah.

Ya Allah, permudahkanlah kesulitan ini.

Tiap yang berlaku Allah jua penentu.

Aku ini hanyalah hamba yang selalu terburu-buru.

Astaghfirullah.

˳Azrina Abu Bakar  ˳

Monday, February 27, 2012

Jika 5 Sesudah 5...



Ayuh kita menuntut ilmu...
Ilmu Allah begitu luas untuk kita tahu...


Kita ingat kita dah buat apa yang diperintahkan
Kita hijrah tinggalkan apa yang dilarang
Tapi rupanya masih banyak yang perlu dibetulkan...


Kita ingat kita dah faham
Tapi rupanya masih juga kelam...


Usah ingat hanya dengan tak tinggal solat
Kita termasuk golongan orang yang hebat...


Sebenarnya perbaiki solat
Itu yang perlu kita buat...


Kalau solat 15 - 20 tahun dulu masih sama seperti sekarang
Tak terfikirkah kita bahawa solat itu pasti banyak yang pincang...


Baca surah panjang-panjang, tapi rukun solat masih lintang pukang
Tak mustahil solat kita langsung tak dipandang... 
Na'uzubillah.


Itulah gunanya menuntut ilmu
Dari situ, kita kenal bagaimana persembahan amalan kita pada Yang Satu...


Perbaikilah...
Hanya melalui jalan ilmu...
Mohon diberi ruang, agar kita berpeluang
Mohon diberi kefahaman, agar dapat kita betulkan...


Ingat 5 sebelum 5...
Jika berlaku 5 sesudah 5...
Apalagi yang kita ada...
Ayuh, kita muhasabah...
Moga dipermudahkan dan Istiqamah...
I N S Y A A L A H.


˳Azrina Abu Bakar  ˳

Thursday, February 16, 2012

Islam Kita Pada Nama @ Benar-benar Hamba? ~ Astaghfirullah...


Bismillahirrahmanirrahim...
Segala Puji Bagi Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Sekali lagi, bersama kasih sayang yang Allah semaikan dihati ini, jemari ini menari sekali lagi untuk menyebarkan bingkisan indah, sebuah hidayah dari Allah Yang Maha Mengurniakan.

Subhanallah...

Petang ini, bersamaan 23 Rabi'ulawal 1433H, saya menerima satu perkongsian yang benar-benar menyentuh hati kecil ini.

Sudah acapkali juga saya dikongsikan dengan pelbagai video/artikel dilaman sosial ini, tetapi dengan izin dari Allah, perkongsian petang ini mengundang rasa kesyahduan dihati yang begitu mendalam.

Betapa agungnya kurniaan dari Allah.
Betapa keindahan Islam itu hadir bersama hidayah milik mutlak Allah Yang Maha Esa.

Allahu Akbar! Allahu Akbar!
Hanya melalui satu haruman, mereka menjadikan diri mereka hamba.

Hanya kerana rasa syukur yang tidak mereka sedari, Allah mengizinkan lidah mereka mengucap dua kalimah syahadah.

Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Bukan omongan, bukan satu rekaan.

Inilah namanya kekuasaan yang tiada tandingan.

Kekuasaan yang tiada batas untuk kita fikir dan renungkan.

Hanya Allah yang selayaknya menerima pujian.

Hanya Allah yang selayaknya untuk kita lafazkan kesyukuran.

Dia Yang Membenarkan. Maha Pemilih. Maha Pengurnia tanpa ada rasa berkira-kira.

Masyaallah...

Titis jernih yang mengalir petang ini, menjadikan diri yang sedang melalui satu kehidupan untuk menjadikan diri sebagai hamba terasa begitu kerdil dan hina disisiNya.

Sahabat-sahabat yang amat saya kasihi...

Sedarkah kita akan nikmat terbesar buat kita, yakni kita dilahirkan sebagai seorang Islam sejak azali?

Sejauh mana tanda syukur kita padaNya?

Saya benar-benar bermuhasabah melalui perkongsian ini.

Moga bersinar kembali Nur Islam yang telah Allah sinarkan dihati kita... Insyaallah.

Ayuh, sama-sama kita hayati perkongsian video ini dengan meletakkan diri sebagai hambaNya... kembalikan diri pada Allah Yang Maha Berkuasa, agar kita tahu dimana situasi kita yang hanya bernama hamba...

Astaghfirullah.


˳Azrina Abu Bakar  ˳

Wednesday, February 8, 2012

Allah Begitu Istimewa...




Pernah suatu masa dulu, seorang kawan menghubungi saya.


Dia menyatakan ketidakselesaan dia dengan status-status yang selalu saya kongsikan dilaman sosial ini.


Termanggu saya dengan kata-katanya.  Dia membidas saya, dengan macam-macam tohmahan, antaranya yang masih saya ingat hingga kini,


"tak payah tulis benda-benda baik, cermin saja diri sendiri dulu."


Masa tu, saya hilang kekuatan. Langsung tak mampu nak berbicara.


Airmata mengalir laju.  Rasa tersentuh.  Rasa tiap kebaikan yang ingin dikongsikan sia-sia belaka.


Astaghfirullah.


Kala itu, hanya Allah yang saya dampingi.


Tiada tempat yang terbaik selain Dia.


Bila bertahajjud saya curahkan segala isihati.


Mengadu tiap kesedihan.


Mohon ditunjukkan jalan kebenaran atas niat murni yang ingin saya lakukan.


====================


Satu pagi, lewat beberapa hari kejadian tersebut, saya mendapat emel dari seorang sahabat.


Dalam emelnya, dia bertanyakan khabar saya, dia agak bimbang kerana saya agak menyepi dari berkongsi sesuatu.


Katanya lagi, dia seperti ternanti-nanti nasihat-nasihat yang selalu saya kongsikan.


Sebelum dia mengakhiri emel yang ditulis, dia mencadangkan agar saya menulis diblog.


Katanya, dia akan menjadi 'follower' pertama kerana tulisan-tulisan saya melahirkan rasa cintanya kepada Allah.


Allahu Akbar!


Tersenyum bersama genangan airmata.


Sekali lagi hati kecil ini tersentuh.


Allah memberi saya pelajaran tentang dua manusia.


Selepas membaca emel darinya, saya terdiam.


Saya fikir dalam-dalam.


"Tidak sepatutnya, saya 'berhenti' berkongsi."


Itu yang tercetus dihati.


Saya fikir lagi.


Kali ini, saya cuba fahami.  Fahami tentang dua manusia yang Allah berikan saya pelajaran melaluinya.


"Jika benar, saya berkongsi kerana Allah, mengapa perlu saya 'lari'?"


"Apakah perbuatan saya menjadikan saya ini tidak ikhlas berkongsi selama ini?"


Macam-macam yang saya fikirkan.


Tentang tohmahan.


Tentang sokongan.


Allahu Akbar!


Sekali lagi saya berpaut padaNya.


Mengadu satu persatu, tentang apa yang sedang saya lalui.


====================


Akhirnya, pada suatu malam, saat semua insan-insan melayari mimpi indah mereka, saya dikirimkan Allah dengan satu kekuatan.


Bersama kekuatan itu, saya kembali menulis.


Saya mencipta blog melalui ilham yang Allah cetuskan buat saya.


Rasa mencurah-curah bait-bait kata yang disusun dikotak fikiran saya.


Satu persatu saya zahirkan melalui tarian jari yang seolah-olah tidak mahu berhenti.


Semuanya dengan izin Allah Yang Maha Esa.


Subhanallah.


Kekuatan itu benar-benar menjadikan saya insan baru.


Insan yang mahu menjadi hamba.


Dan bersama kekuatan dariNya juga saya kembali berkongsi diruangan ini.


Hari demi hari, saya dapat merasakan saya semakin 'kehilangan' mereka yang dulu selalu bersama saya.


Tapi, kehilangan itu tidak mengundang hiba kerana saya kini telahpun Allah kurniakan dengan mereka yang selalu mengucapkan cinta pada Allah dan RasulNya.


Subhanallah.


Rupa-rupanya, pelajaran yang Allah berikan buat saya melalui mereka yang mencemuh dan menyokong saya sangat berharga.


Melalui cemuhan, kita akan belajar untuk bermuhasabah.


Muhasabah untuk menjadi lebih kuat.


Lebih taat.


Menjadi yakin dan tidak goyah.


Mujurlah adanya tohmahan dan cemuhan buat saya, kerana perkara ini membawa saya berfikir sekaligus mendidik saya untuk tidak menyerah.


Alhamdulillah... terima kasih Ya Allah.


Buat mereka yang tidak selesa dengan perkongsian dari saya, terima kasih jua saya hulurkan.


Kata-kata cemuhan itu menjadikan saya berusaha untuk lebih dekat denganNya.


Akan sentiasa saya doakan agar Allah bukakan pintu hati kalian untuk merasa indah akan jalan kebaikan... aamiin Ya Allah.


Dan tidak lupa pada yang mendambakan kasih sayang Allah sepertimana diri saya.


Sokongan dan manfaat yang selalu kita kongsikan bersama akan sentiasa menjadi panduan buat diri untuk kita perbaiki amal dan berusaha untuk istiqamah.


Bersama kita mencantikkan diri pada pandanganNya.


Kasih sayang sesama manusia itu adalah tanda kasih sayang Allah buat hamba-hambaNya.


Insyaallah.


Pesan saya pada diri dan sahabat yang sudi membaca perkongsian ini, selalulah bersangka baik sesama kita.


Kerana saya sedar, Allah selalu memberi pendidikan pada saya melalui jentikan halus yang dapat saya rasakan.


Banyak perkara saya belajar melalui manusia yang bernama hamba.


Tidak kira yang buta atau celik mata hatinya.


Semua itu pelajaran buat kita.


Usah berkecil hati, atau kecewa kerana itu mengundang rasa buruk sangka.


Sebaliknya jadikan jentikan halus itu satu pelajaran untuk kita membina tauhid padaNya Yang Mencipta.


Allah amat istimewa.


Istimewa kerana menjadikan diri ini insan yang semakin memahami makna seorang hamba.


Alhamdulillah.


====================


"Wahai Tuhan yang kekal hidup, yang kekal memerintah selama-lamanya, dengan rahmat Mu aku memohon pertolongan.  Perelokkan segala urusanku dan janganlah Engkau biarkan nasibku ditentukan oleh diriku sendiri walaupun sekelip mata... aamiin Ya Rabbal'aalamiin."


˳Azrina Abu Bakar  ˳

Tuesday, February 7, 2012

Sungguh, Aku Tidak Mahu!


Semakin banyak yang Engkau limpahkan
Semakin banyak pula ujian jadi kiriman
Saat bertemankan iman
Redha menjadi kekuatan
Saat melatah dengan hasutan
Terlucut sebuah kesabaran

Allahumma Ya Allah,

Lemahnya jiwa
Akal turut sama tercela
Roh meronta-ronta
Mohon dilepaskan
Minta lari dari hasutan

Sungguh, aku tidak mahu!

Membiar nafsu menjajah diriku
Bimbang nikmat dari Mu
Terlepas satu persatu
Tertewas pujukan hati palsu
Dan iman berkecai menjadi debu

Sungguh, aku benar-benar tidak mahu!

˳Azrina Abu Bakar  ˳

Sunday, February 5, 2012

Pesan Hamba Untuk Hamba II



Banyak yang kita rancangkan

Yang dirancang tak terjadi

Yang tak dirancang itu yang dilalui...

Usah kata "Semua yang ku rancang tak menjadi..."

Kerana Allah lebih dulu yang merancangnya buat kita...

Yang tak menjadi itu kerana tiada izin atau bukan 
perancanganNya buat kita

Sebaliknya yang tidak dirancang itu, ketetapan dan aturan yang tidak pernah kita tahu kebaikannya...

Ucaplah " Alhamdulillah..." atas tiap aturan yang diizin dan dirancangNya buat kita

Kerana Dia lebih tahu apa yang kita mampu...

Allahu Akbar !

˳Azrina Abu Bakar  ˳

Thursday, February 2, 2012

Pesan Hamba Untuk Hamba I



Mata ini suka memandang warna yang lembut...
Tetapi bila tangan memegang ia akan menyentuh warna yang terang...
Jika tak memandang atau memegang, hati suka pada putih dan hitam...
Bercanggah betul pilihan yang ada...


Begitulah diri kita dalam melayari hari-hari terakhir dibumi ini...
Selalu membuat pilihan...
Terkadang betul jalannya, selesa benar rasanya...
Tapi selalu saja tersasar arahnya...


Dan hasilnya kalut, serba tak kena...

Waktu itu, jangan salahkan takdir...
Kerana akal telah pun Allah bekalkan...
Dalam menjalani takdir, kita yang perlu bijak...
Bijak memilih, agar hidup tak berdalih-dalih...


Andai tersasar juga...
Akal juga yang diberi Allah untuk memimpin semula...
Jadilah 'peminjam' akal yang bijaksana
Kerana disitulah penghargaan buat yang Mencipta...


Tidak sekadar mahu meminjam saat perlunya sahaja...
Tapi dimanfaatkan dengan sebaiknya...

Moga kita tergolong dalam mereka yang bijak menggunakan akalnya...
Aamiin... Ya Allah.

Moga dipermudahkan...
I N S Y A A L L A H.

˳Azrina Abu Bakar  ˳


Wednesday, February 1, 2012

Bila Langit Menangis


Bila Langit Menangis...
Jemari mula melakar sinis
Menulis tiap bisikan yang ada disebalik hati...


Bila Langit Menangis...
Rasa terpinggir
Dalam ribut yang ditemani teriakan sang petir...


Bila Langit Menangis...
Tiada lagi rahsia yang terukir
Terbongkar bersama bicara dibibir...


Bila Langit Menangis...
Meluahkan segala isi hati
Bercerita bersama titis jernih dipipi...


Bila Langit Menangis...
Melimpah-limpah tak tertakung
Mengalir tanpa mahu selindung...


Bila Langit Menangis...
Jiwa Pujangga ini mula mengemis
Pada Sang Pencipta yang membiarkan
Langit untuk terus menangis
Dan titis jernih yang tak pernah habis...


Astaghfirullah...
Dalam damai ini
Saat langit mula menangis...

˳Azrina Abu Bakar  ˳
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...