Kita Hanyalah Hamba

Sesungguhnya...

tiada harapan selain ALLAH...
tiada idola selain RASULULLAH...
tiada kata seindah AL-QURAN...
tiada jalan selurus AS-SUNNAH...
tiada perjuangan selain ISLAM.

Thursday, September 20, 2012

Dia Bertudung Labuh... Dia Itulah saya... :)


Tersenyum saya sorang-sorang memandang tudung-tudung labuh kesayangan dan jubah-jubah (especially jubah hitam) kepunyaan saya.

Itu adalah antara 'harta' yang sangat saya sayang.

Selalu saya bercita-cita nak 'labuhkan' tudung muslimat yang ada dimuka bumi ni.. huhu.. mungkin terlalu besar cita-cita saya ini.

Tapi, inilah kenyataannya. 

Bila saya berada dalam jemaah perempuan, boleh dibilang dengan jari mereka yang memakai tudung labuh (yang menepati syariat).

Saya tak pernah kata, yang bertudung labuh itu adalah orang 'baik' dan tak pernah berdosa.

Tapi, pada pandangan saya memakai tudung yang menepati syariat itu termasuk dalam golongan orang-orang yang patuh pada perintah Allah.

Bukankah itu baik?

Cantik dipandangan Allah, mampu menjadikan kita hambaNya yang beriman dan bertaqwa.

Bercita-citalah untuk menjadi hamba Allah yang bertaqwa.

Sesungguhnya, kehidupan sebenar yang terindah adalah saat kita bertemu denganNya kelak.

Moga kita bertemuNya sebagai seorang hamba yang membawa title 'taqwa'.

Kerana, hanya dengan 'taqwa' Allah mengasihi hamba2Nya.

Moga Allah Redha.

Aamiin...Ya Allah.

˳Azrina Abu Bakar  ˳

Thursday, September 6, 2012

Pesan Saya Padanya II


(Alhamdulillah... 24hb September 2012, diulangtahun mak yg ke 64, artikel ini disiarkan dilaman ILUVISLAM. Moga perkongsian ini dpt dimanfaatkan bersama dan Allah terus membuka ruang yg luas untuk saya terus menulis... Insyaallah)


Petang itu hujan agak lebat ketika dalam perjalanan pulang dari kuliah.
Saya memberhentikan kereta, singgah disebuah kedai buku.

Melihat keadaan hujan yang semakin lebat menjadikan saya begitu leka membaca.

Tertarik pada tajuk sebuah artikel dalam majalah yang sedang saya baca.

"Berilah maaf...".

------------------------------------------------------------

Subhanallah, teringat saya pada seorang sahabat.
Dia meluahkan rasa hatinya, yang begitu berat untuk memaafkan.

Seperti biasa, saya tersenyum memandang wajahnya.
Wajahnya sedikit mencuka.
Mungkin merasa tidak selesa dengan senyuman yang diberikan padanya.

Dia menjeling sinis.
"Orang cakap betul-betul, dia senyum."
Itu yang terlahir dari bibirnya.

Saya masih juga senyum.
"Marah?"
Hanya sepotong pertanyaan yang saya ungkapkan padanya.

Fikirannya yang serabut kini terpamer pada wajah.
Saya merenung wajah sahabat ini.
Memang benar, wajahnya sarat menahan diri untuk tidak memberi maaf.

"Bahagia dengan apa yang awak rasa sekarang?"
Saya cuba menjeratnya dengan apa yang cuba dipertahankan.

Termanggu dia memandang saya.
Seperti ada kekeliruan menjelma.
Atau mungkin juga mula mencari dimana punca pada rasa serabut yang ada.

"Kenapa saya selalu lihat awak bahagia?"
Itu yang terpacul dari mulutnya.

"Mungkin kerana saat saya duka awak tidak bersama..."
Spontan saya berbahasa bersama sisa senyum yang masih ada.

Kali ini, dia merenung saya dalam-dalam.
Bersama dua tangan yang erat digenggam.
Pandangan kami saling menyapa, menjadikan hati sedikit hiba.

Dikelopak matanya ada genangan yang hampir gugur.
Mungkin saat ini, apa yang dipertahankan tidak lagi akur.

Dengan nada kasih sayang yang lahir dari hati saya, saya berpesan padanya...

"Inilah sebenarnya bahagia. Saat kita memberi maaf pada Si Pendosa. Tidak ke mana keegoan yang kita pertahankan. Semuanya hanya mengundang kebencian, malah ianya mengundang kemurkaan Tuhan."

Perlahan-lahan saya cuba menyapu titis jernih yang mengalir dipipinya.
Untuk seketika saya biarkan dia menangis.
Menangislah untuk belajar bahagia.
Menangislah bersama tangisan seorang hamba.

Sesungguhnya kita juga selalu berdosa, berdosa pada Sang Pencipta.

Sedang Dia sentiasa memberi ampun pada hamba-hambaNya, mengapa kita tidak mahu memberi maaf pada yang lainnya?

Astaghfirullah... mata saya juga turut berkaca.

"Berilah maaf..." mengiringi perjalanan pulang saya pada petang itu.

Moga dia kini bahagia.

Bahagia bersama pesan saya padanya.

Bahagia yang diizinkan Pencipta buat hamba-hambaNya yang selalu berdosa...

Astaghfirullah.

˳Azrina Abu Bakar  ˳



Friday, August 10, 2012

Ramadhan Terakhir Buatmu...



Semalam, Allah menyusun satu perjalanan buat sahabat yang sama-sama satu kumpulan dalam bertadarus Al Quran.
Juga sahabat yang selama ini sentiasa bersama di kuliah-kuliah pengajian.
Arwah Makcik Fatimah, telah menghembuskan nafasnya yang terakhir pada petang 20 Ramadhan.
Perjalanannya begitu indah.
Perginya dibulan mulia.
Jumaat yang barokah, menyambut kehadirannya dialam baqa'.
Subhanallah.
Sehari sebelum arwah dimasukkan ke hospital, arwah masih lagi sempat bersama-sama disurau mengerjakan solat Tarawih.
Itulah kali terakhir saya mencium kedua pipi dan memeluknya erat-erat. :'(
Begitu juga ketika hari terakhir bertadarus, arwah bersalaman dengan semua sahabat, malah sempat meninggalkan kata-kata akhir, "Rasanya makcik x lama disini".
Allahu Akbar!
Hanya kiriman doa dan ayat-ayat suci mengiringi perjalanan makcik.
Lebih indah, jenazahnya disolatkan oleh salah seorang anak lelakinya (yg merupakan seorang Hafiz Al Quran).
Malah bacaan talqinnya juga turut disempurnakan oleh anaknya.
Subhanallah.
Kurnia Allah buatnya.
Banyak yang saya belajar darinya.
Punya semangat yang tak pernah luntur dalam berilmu sekalipun sukar.
Sering memberi pesan dan perkongsian pada sahabat seperjuangan.
Perginya bersama kenangan yang mendekatkan kami dengan Tuhan.
MasyaAllah.
Moga Allah merahmatimu.. makcik Fatimah.
:'(

---------------------------------------------------

Pesanan terakhirnya pada saya,
"Jangan lupa cium dahi dan kening mak, bila bersalam. Itu yang selalu anak makcik buat pada makcik. Nanti Allah berikan ganjaran Syurga pada kamu... Insyaallah".

Ya, Allah.. :'(

Dan, perkara terakhir yang sempat saya lakukan buatnya, arwah mahu saya belikan Al Quran Terjemahan yang sama seperti saya.
Alhamdulillah, sempat juga digunakan untuk bertadarus diRamadhan yang terakhir buatnya... :'(

Moga Allah redha.
Al Fatihah.
˳Azrina Abu Bakar  ˳

Tuesday, June 19, 2012

Sebuah Rehal Kayu...

(Alhamdulillah... nukilan yang ke 7, disiarkan dilaman ILUVISLAM.COM pada bulan 7 (16 Julai 2012), juga merupakan bulan kelahiran Si Pujangga yang bernama Hamba :D )


Ini rehal kayu.


Rehal kayu kesayangan saya.


Rehal ini adalah teman setia saya setiap kali hadir ke kuliah atau pengajian ilmu.


Mungkin pada orang lain, tiada apa-apa nilainya.


Tapi, buat diri saya ianya sangat berharga.


Ketiadaan rehal kayu saat dikuliah terasa seperti hilang sebelah tangan atau kaki.


Itulah yang saya rasakan jika saya tertinggal rehal kayu yang selalu setia menemani.


Bercerita tentang rehal kayu ini, saya membelinya saat saya mula berjinak-jinak mengikuti kelas pengajian Al Quran (Kelas Tajwid).


Pada awalnya, saya rasakan rehal kayu ini perlu kerana saya mahu meletakkan Al Quran lebih tinggi dari paras lutut apabila saya duduk.


Dan ternyata, memuliakan Al Quran itu, adalah salah satu punca untuk Allah memberikan saya lebih ruang mendekatiNya.


Subhanallah. Alhamdulillah.


Perkara yang pada mulanya saya lakukan, kerana mahukan keselesaan, rupa-rupanya punya rahmat disisi Allah.


Saya hanya membawa rehal kayu ini ketika menghadiri pengajian Al Quran.


Pada kuliah-kuliah yang lain, seperti Fadhu Ain, kelas Tafsir Al Quran & Hadis dan kelas Bahasa Arab tidak saya menggunakannya.


Hinggalah pada suatu hari, Allah menggerakkan tangan saya mencapai rehal kayu ini seiring dengan beg untuk ke kuliah Fardhu Ain.


Terdetik juga dihati saya, "malu pulak rasanya nak bawa rehal ni bersama".


Perasaan malu ini berlegar-legar diruang minda.


Bukan apa, rasa malu jadi tatapan mata sahabat-sahabat yang lain kerana tidak seorang pun dari mereka yang membawa rehal ini bersama.


Namun, setelah akal dan hati bersatu mengatakan, "malu tak bertempat! kan mudah kalau ada rehal ni nanti... senang nak letak buku dan menulis".


Saya segera memadamkan kata-kata negatif yang hampir saja mematikan niat untuk membawa rehal kayu ini bersama saya.


Bermula dari hari itu, saya mula merasakan betapa rehal kayu ini memberi saya kesenangan untuk mencatat nota-nota dan meletakkan buku sepertimana saya memuliakan Al Quran.


Hari demi hari, rehal kayu ini sentiasa setia menemani setiap kali kaki melangkah ke tempat pengajian.


Dan setelah hampir setahun hanya saya seorang yang membawa rehal kayu ini, tiba-tiba seorang sahabat bersuara, "Suka tengok ina bawa rehal ni bersama. Nampak mudah.." katanya sambil tersenyum.


Saya turut sama tersenyum. "Memang ianya sangat memudahkan saya dalam menuntut ilmu... Alhamdulillah".


Masih ingat lagi, bertahun-tahun (lebih kurang 5 tahun) saya ke hulu ke hilir bersama rehal kayu ini hanya dengan menaiki motorsikal.


Ada juga makcik-makcik yang pernah menegur saya, "buat apa bawa rehal tu, bahaya laa naik motor macam tu..".  


Saya hanya senyum pada mereka seraya berkata "Insyaallah, tak apa-apa".


Mahu memberi hujjah bahawa rehal ini terlalu berguna pada saya rasa seperti tidak mampu.


Yang penting saya bahagia.. :)


Akhirnya, dengan izin dari Allah, saya beroleh lesen memandu kereta.


Alhamdulillah.


Satu peningkatan pada diri.


Dan lebih memudahkan saya untuk hadir ke kuliah-kuliah dengan lebih selamat.


Malah, saya rasa rehal kayu saya tidak lagi tersiksa kerana tersangkut di'handle' motorsikal saya seperti dulu.


Kasihan rehal kayu.


Tapi sekarang, rehal saya sudah mampu tersenyum agaknya, kerana damai 'aircond' kereta yang dirasakannya... :)


Apa yang saya perasan juga, sudah ada dua tiga orang sahabat mula membawa rehal kayu seperti saya.


Tak kurang juga bertanya dan minta saya belikan rehal kayu yang serupa dengan saya.


Alhamdulillah, saya telah membantu sahabat-sahabat yang inginkan rehal kayu ini untuk membelinya tanpa mengambil apa-apa komisen.


Mereka hanya membuat pesanan.


Apabila pesanan diterima saya membuat penghantaran terus ke rumah.


Allah beri keizinan pada saya untuk memandu kereta, dan dengan kemudahan ini, saya manfaatkan dengan apa yang saya mampu.


Niat saya hanya ingin membantu sahabat-sahabat.


Menjadikan mereka bersemangat seperti saya untuk hadir ke kuliah agama sekaligus dapat mengimarahkan surau-surau dan tempat-tempat pengajian.


Ada juga yang membeli kerana ingin menghadiahkan pada keluarga.


Subhanallah.


Rehal kayu yang dulunya susah untuk dilihat bersama jemaah yang hadir ke surau, kini tidak lagi menjadi perkara luar biasa.


Malah bermacam-macam rupa yang ada selain dari rehal kayu seperti saya.


Suatu pagi, datang seorang makcik ditempat saya berniaga, dia ingin membuat pesanan rehal kayu.


Dia menghulurkan wang secukupnya.


Tapi, saya menolak.


"Makcik boleh bayar bila saya hantarkan pada makcik nanti."


Saya senyum.


Makcik itu juga tersenyum.


Katanya, dia tidak sabar untuk miliki rehal kayu seperti yang selalu saya bawa.


"Mudah nak mengaji".


Sekali lagi saya senyum. Suka dengan semangat yang ada padanya.


"Insyaallah makcik.  Bila dah sampai nanti saya akan terus hantar ke rumah."


Sebelum berlalu pergi, makcik ini menghulurkan saya sebuah bungkusan seperti sampul duit raya.


Saya tergamam. Rasanya sudah saya jelaskan tentang bayarannya. Tapi kenapa dia masih juga menghulurkan sesuatu, bezanya bersampul.


"Eh, apa ni makcik?"


"Nah, ini bukan duit rehal, tapi ini hadiah dari makcik. Sebelum ni, kawan-kawan yang dah beli bagitau kamu  langsung tak nak terima apa-apa komisen dari bantuan kamu mendapatkan rehal untuk mereka. Kamu tahu tak, kerana kamu bawa rehal selalu, itu yang mendorong sahabat yang lain untuk membeli dan menggunakannya. Ini hadiah dari makcik untuk kamu. Atas 'dakwah' penggunaan rehal dan jasa kamu mendapatkan rehal untuk makcik dan sahabat-sahabat makcik yang dah tak berdaya nak ke kedai membelinya. Kamu mesti terima, makcik dah niat nak hadiahkan ini pada kamu. Makcik ikhlas. Makcik suka orang muda yang cari ilmu dan manfaatkan hidupnya untuk orang lain. Kamu boleh jadi contoh... Insyaallah".


Allahu Akbar!


Waktu itu, hati saya berdebar.


Takut hanyut dalam pujian.


Malah airmata hampir saja jatuh, kerana selama ini tidak sangka hanya kerana Sebuah Rehal Kayu yang saya bawa mampu menjadi contoh dan dapat dimanfaatkan pada yang lain.


Hadiah dari makcik itu tidak mampu saya tolak.


Tidak kisah apa isi atau nilainya, namun disebalik hadiah yang diberikan pada saya memberikan saya satu pengertian yang selama ini selalu saya dengar...


Sabda Rasulullah SAW (bermaksud);


Hendaklah setiap orang Islam itu bersedekah , jika ia tidak dapat berbuat demikian , maka hendaklah ia berusaha sendiri yang dapat memberi faedah kepada dirinya sendiri dan dengan yang demikian ia dapat bersedekah, jika ia tidak sanggup, maka hendaklah ia menolong orang yang susah yang memerlukan bantuan, jika sekiranya ia tidak dapat berbuat demikian, maka hendakah ia menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan, jika ia tidak dapat berbuat demikian juga, maka hendaklah menahan dirinya daripada melakukan kejahatan, kerana yang demikian itu adalah dianggap sedekah.


[Riwayat Ahmad]


Sesungguhnya Firman Allah itu benar. Sabda Rasulullah itu adalah tunjuk ajar dan peringatan.


Dan ketahuilah... perjalanan dalam mencari redhaNya itu penuh nikmat yang selalu tidak kita sedar...


MasyaAllah...


˳Azrina Abu Bakar  ˳

Tuesday, June 12, 2012

Mintalah Dengan Solat & Sabar...



Saat dikuliah Tafsir Al Quran petang tadi, Allah memberi satu kefahaman tentang penghayatan dalam Solat.


Alhamdulillah.


Walau tidak banyak, tapi nilai yang sedikit itu amat terkesan dihati saya.
Saya tersentuh bila ustaz berulang kali menyatakan "Mintalah dengan Solat dan Sabar".
Menghayati kata-kata ini membuatkan airmata saya hampir saja jatuh dari kelopak mata.
Ia benar-benar menyentuh hati.
Jauh diruang fikir saya bertanya, apa agaknya kualiti Solat saya disisi Allah.


Astaghfirullah...


Betapa saya selalu meminta padaNya...
Namun benarkah saya meminta bersama "Solat & Sabar" ?
Persoalan ini benar-benar memuhasabahkan diri saya yang hina disisiNya.
Nilai perlakuan Solat saya terasa seperti tidak layak untuk meminta, namun saya sedar Allah tetap jua memberi kurniaNya.


Subhanallah.


Sesungguhnya Dia Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Teringat pula akan permohonan untuk bersama RasulNya.


Astaghfirullah...


Layakkah saya terus meminta sedang diri terlalu lelah untuk mendidik Sabar?
Untuk bersama Rasulullah, itu adalah impian yang terindah.
Untuk menjejaki Jannah, itu adalah harapan yang tak pernah sudah.


Ya Allah, Yang Maha Pengurnia, 
Yang Maha Memberi Rahmat dan Melimpah Redhanya...


Tempatkanlah kami disisiMu bersama Solat dan Sabar.
Hiaskanlah perjalanan dunia kami ini bersama Solat dan Sabar.
Agar dapat kami persembahkan amalan tanpa ada yang tercalar.
Dan mengecapi tiap untaian kasih yang Kau tebar.


Aamiin Ya Rabbal'aalamiin.

˳Azrina Abu Bakar  ˳
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...