Kita Hanyalah Hamba

Sesungguhnya...

tiada harapan selain ALLAH...
tiada idola selain RASULULLAH...
tiada kata seindah AL-QURAN...
tiada jalan selurus AS-SUNNAH...
tiada perjuangan selain ISLAM.

Monday, August 15, 2011

Aku, Ramadhan dan Al Quran.

(Segala puji bg Allah yg memiliki tiap tinta yg tertulis... Nukilan ke 3, yg disiarkan diruangan www.iLuvIslam.com. ~ moga hidayah & taufik dari Allah terus menyinggahi hati-hati yg sentiasa mencari keredhaanNya... aamiin Ya Rabb.)


Alhamdulillah...


Allah terus jua mempertemukan aku dengan Ramadhan tahun ini.


Rasa syukur yang tak terhingga atas peluang yang Allah berikan, menjadikan aku lebih rindu untuk mendekatiNya tiap detik waktu yang berlalu.


Bila tibanya Ramadhan, hati ini pasti bergetar, terasa titisan jernih yang melimpah dari kelopak mata ini, tidak terbendung lagi dek sekeping hati yang benar-benar menginsafinya.


Allahu Akbar!


Bersama Ramadhanlah aku sekarang berada disituasi ini.


Memang benar, bulan ini merupakan bulan rahmat penuh keberkatan dari Allah SWT.


Bukanlah rekaan, atau sekadar bicara indah yang ingin aku kongsikan, tetapi inilah kenyataan perjalanan seorang hamba yang dulunya hanyut bersama arus dunia.


Langkah pertama yang Allah aturkan buat diri ini, iaitu pada Ramadhan 1427 hijrah (tahun 2006).


Waktu itu, perjalanan diri yang jahil ini, tidak ubah seperti 'kanak-kanak' yang disuruh berpuasa dan menahan lapar dan dahaga malah melonjak-lonjak hatinya untuk menyambut lebaran yang bakal menjelma.


Astaghfirullah. Kerdilnya diri.


Saat itu, usia sudahpun mencecah 30 tahun, tapi langsung tiada istilah untuk menghayati apa itu Ramadhan.


Hinggalah pada hari pertama Ramadhan 1427 hijrah, mak mengajakku mengikutinya bertadarus Al Quran.


Mulut terkunci. Tidak mengomel walau sepatah, namun dihati ini, andai dapat mak mendengarnya, pasti omelan ini dinokhtahkan dengan 'hujjah-hujjah' yang tak mampu ku balas.


"Ish! Macammana ni?". Rungutku sendiri.


Mahu tidak mahu, ku turutkan jua.


Sepanjang perjalanan ke surau, bibir ini hanya menghadiahkan senyum tawar buat mak.


Aku tahu, mak mengerti apa yang bermain difikiranku. Tapi mak lebih bijak bermain bahasa dalaman.. lagak seperti pakar psikologi.


Huh! Mak.. mak.. mana mampu aku menandingi mu.


Tiba diperkarangan surau, dua lutut dan kaki ku bergoyang. Berpeluh tapak tangan ku dibuatnya.


Langkah menjadi kaku. Terhenti bagai tidak tahu dimana pintu masuk surau, sedang mak mengatur langkah dengan cermat sekali.


"Hah.. kenapa tak masuk?" hanya sebaris teguran mak, menjadikan langkah ku yang kaku cair begitu saja.. hebat betul laa mak ni, aku 'dipukaunya' dengan mudah sekali.


Sebaik saja aku memijakkan kaki di atas permaidani biru yang tersergam indah didalam surau, hati tersentuh dengan satu perasaan yang tak dapat aku gambarkan.


Ku perhatikan keindahan rumah Allah ini.


Subhanallah.


Mengapa agaknya kesyahduan yang terlalu dalam singgah dihati ini?


Perasaan yang bercampur baur itu, cuba ku padamkan sebaik saja aku mengambil tempat disisi mak.


Ramai juga jemaah wanita yang bertadarus Al Quran pada bulan Ramadhan ini rupanya.


Selama ini, tak pernah ku ambil peduli.


Menjejakkan kaki ke surau pada pagi-pagi begini, jauh sekali.


Hanya 'melengkapkan' solat sunat terawih pada malam hari, itu juga tidak atas kemahuan yang sesungguhnya.


Astaghfirullah. Jahilnya diri.


Disinilah segalanya bermula.


Pada hari pertama aku membacanya, begitu gugup sekali. Namun, dek kerana benih-benih kekuatan yang selalu mak berikan, menjadikan aku bertambah semangat untuk meneruskan.


Perjalanan Ramadhan pada tahun itu membawa aku terbuai dengan kalam-kalam suci Ilahi.


Allahu Akbar!


Akhirnya, sedikit demi sedikit Allah mencampakkan rasa cinta untuk aku mendalaminya.


Secara diam-diam, aku menaruh minat untuk memperbaiki bacaan Al Quran ku.


Mak sentiasa memberi kata-kata dorongan agar anaknya ini terus menyintai apa itu MENGHAYATI AL QURAN.


Sesungguhnya janji Allah itu benar, tiap kebaikan itu pasti akan diperluaskan jalan pada yang mendambakan.


Selepas Ramadhan berlalu, aku bagai mendapat satu keyakinan untuk kembali mencari ilmu. Mencari ilmu Allah yang selama ini aku pinggirkan.


Alhamdulillah, perjalanan ku dipermudahkan.


Allah mengizinkan tiap apa yang aku cita-citakan.


Aku mula menjinakkan diri hadir ke kuliah tetap fardhu ain.


Hampir dua tahun aku mengikutinya, aku ditambahkan satu lagi peluang untuk menggali ilmu.


Kali ini, Allah perkenankan sesuatu yang benar-benar aku inginkan, iaitu mendalami ilmu Al Quran.


Subhanallah.


Betapa indahnya kurniaan. Kurniaan pada seorang hamba yang dulu pernah 'melupakanNya'.


Astaghfirullah.


Ampunilah hamba Mu ini Ya Allah.


Hari berganti hari, kuliah tajwid yang aku ikuti menjadikan aku benar-benar mendekati Al Quran.


Bukan hanya cara bacaan yang semakin baik dapat aku kuasai, malah penghijrahan pada diri juga mula berlaku.


Kaki yang dulu aku telanjangkan, kini sudah ku pakaikan 'hijab' (berstokin), dan tudung yang dulunya sekadar 'tutup kepala' ku labuhkan dengan sempurna.


Malah keselesaan dalam berpakaian menjadikan aku semakin memahami apa yang Allah perintahkan selama ini.


Ya Allah, betapa Engkau ini Maha Pemilih, dan telah memilih diri yang serba kekurangan ini untuk mengabdikan diri padaMu.


Benarlah, Al Quran itu mukjizat.


Didalamnya terkandung suruhan dan larangan.


Segalanya termaktub dan tersusun dengan baik sekali untuk dijadikan panduan dalam kita melayari perjalanan dunia yang fana ini.


Melaluinya, aku bagai dilahirkan semula.


Perjalanan sisa usia yang masih ada terasa lebih bermakna.


Mengabdikan diri padaNya, bukan lagi beban, sebaliknya menjadi pengisian hidup ini penuh dengan kerinduan dan kecintaan.


Ya Allah,


Saat ini masih jua Kau berikan kesempatan untuk aku menyelusuri indahnya penghijrahan ini.


Berilah perlindungan, pemeliharaan dan pimpinan agar perjalanan kasih sayang yang aku tempuh bersama Mu ini semakin hari semakin subur mewangi.


Hanya kepada Mu, tempat untuk kami sembah dan memohon pertolongan.


Tunjukkanlah kami jalan yang lurus.


Tiada daya dan upaya kami melainkan hanya dengan kekuatan Mu Ya Allah.


Harapan ku, agar perjalanan Ramadhan yang sedang ku lalui hari ini, bertambah barokah dan limpah rahmat dari Allah.


Sekalipun Ramadhan kian berlalu, namun tekad yang ada pada diri agar aku Istiqamah dalam mengerjakan amal ibadah dan mampu memperoleh nikmat kemanisan sebuah keimanan.


Sesungguhnya, tiada teman yang terbaik selain Al Quran, kerana melaluinya Allah telah mengubah perjalanan diri ini... perjalanan seorang hamba yang dhaif lagi hina disisiNya. Perjalanan seorang hamba yang semakin mengenal Penciptanya.


Allahu Akbar!


˳Azrina Abu Bakar  ˳

2 comments:

Anonymous said...

Subhanallah Ya ALLAH...Ampunkanlah dosa2 kami di bulan yang mulia ini. Bukalah jalan, Berilah peluang yang terbaik untuk kami menjadi pencintaMu yang setia.Amin Ya Rabb..salam lebaran acik ucapkan buat m.ngah sekeluarga...maaf atas clap dan slah...raya jemput datang umah ye..miss u..

aZRINa Abu Bakar said...

Alhamdulillah... aamiin Ya Allah.
Salam Lebaran juga buat acik yg mkngah sayangi... x lupa buat keluarga acik seluruhnya... moga perjalanan kita yg kembali kpd fitrah mnjdikn diri semakin dihiasi taqwa dr Allah... rindu acik tiap2 hariiiiiiiiiii... :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...