Pertemuan petang itu, begitu bermakna.
Hampir 4 tahun tidak bersua.
Hanya bertanya khabar melalui suara ditelefon.
Allahu Akbar!
Berubah benar keadaannya.
Mengapa Anis?
***********************************
Anis yang saya kenal ketika sama-sama belajar dahulu, tidak seperti ini.
Wajahnya kurus cengkung.
Kelopak mata yang dulunya menjadi tarikan kerana bulu mata yang cantik, kini kelihatan begitu suram malah bengkak seolah-olah menanggung beban kesedihan yang amat dalam.
Saya tidak mahu menyentuh tentang semua itu.
Namun bicara Anis mengundang rasa ingin tahu satu persatu apa yang berlaku padanya.
Anis menghirup kopi panas dihadapannya perlahan-lahan.
Bagai ada sesuatu yang terbuku yang mahu dilepaskan.
Saya hanya membiarkan.
Biar gerak bibir Anis melafazkan bicara tanpa paksaan.
Biar hatinya melontarkan kata-kata tanpa ada tekanan.
"Aku perlukan pimpinan Reen. Aku tidak kuat." Anis memulakan bicara.
"Aku mahu jadi seperti kau Reen. Aku mahu jadi manusia!."
Nada bicara Anis punya getar.
Ada kesungguhan yang perlukan bantuan.
"Sabar Anis. Sabar. Dalam hidup ni, semua orang ada ujiannya. Itu tanda Allah bagi perhatian pada hamba-hambaNya. Allah salurkan kasih sayang dalam banyak cara. Kau kena ingat tu."
Satu persatu titis jernih menitis dipipi Anis. Hingga akhirnya melahirkan esakan yang agak kedengaran.
"Anis, kita ini semuanya manusia. Makhluk yang dicipta Allah sebagai khalifah dimuka bumi ini. Aku manusia. Kau juga." Satu persatu saya tuturkan bicara untuk mententeramkan Anis.
Anis menyapu airmata yang membasahi pipinya.
Namun, seraya dia bersuara airmata itu jatuh lagi.
"Aku bukan manusia yang baik disisi Allah, Reen. Aku zalim pada diri sendiri. Aku hina pada pandangan Ilahi."
Allah.. bergetar hati ini mendengar tiap bicara Anis.
"Anis, manusia yang tahu dirinya tidak sempurna, yang tahu dirinya berdosa adalah manusia yang disayangi Pencipta. Tak perlu kau jelaskan satu persatu keaiban diri yang menjadikan diri mu berdosa Nis. Cukuplah pengakuan mu dihadapanNya. Itu sudah memadai."
Saya menggenggam tangan Anis dengan kemas.
Anis juga.
Bagai ada pautan yang saling menyalurkan sebuah kefahaman yang dianugerahkan Allah pada dia dan juga diri saya.
Esakan Anis yang masih belum reda juga bagai ada alunan yang penuh keinsafan.
Saya terus bersuara,
"Anis, bila Allah hembuskan bisikan untuk kembali padaNya, maka bersegeralah. Pintu taubat untuk manusia yang sedar dirinya adalah hamba disisi Allah sentiasa terbuka luas.
Mungkin aku hanya perantara yang akan menunjukkanmu mencari jalan itu. Tapi sedarlah Nis, yang membawa mu menuju ke sana adalah Dia. Pimpinan yang kau mahukan ada bersamaNya. Kekuatan yang kau perlukan juga ada bersamaNya. Malah keampunan yang paling berharga itu juga ada hanya bersama Dia."
Bengkak mata Anis makin ketara.
Saya menghulurkan sehelai sapu tangan agar dapat dia membersihkan airmata kekesalan yang menyaluti wajahnya.
Kopi panas yang sudah suam-suam kuku kami hirup bersama.
Perlahan saya mendengar helaan nafas Anis.
Lega rasanya.
Dia bagai melepaskan semua kekusutan yang bersimpul tatkala awal pertemuan kami tadi.
"Reen, benar katamu suatu masa dulu. Bila Allah sentuh hati kita, hidayah pasti mula menerpa. Tak kira kita ini sedang berdosa, atau kita ingkar pada perintah dan laranganNya. Allah yang membuat pilihan siapa dan dimana. Tidak ada persoalan lagi mengapa dan kenapa. Hari ini baru aku mengerti. Allah Pemilik tiap hati hamba-hambaNya. Siapa kita untuk mempersoalkannya? Allahu Akbar!."
Kata-kata Anis melahirkan senyuman pada bibir ini.
Bukan kerana saya pernah mengucapkan apa yang dibicarakannya, tapi senyuman ini tanda bahagia kerana akhirnya Allah memberi izin untuk sahabat saya ini merasakan apa yang pernah saya rasa suatu waktu dulu.
Subhanallah.
Indahnya pemberian.
Begitu bernilainya sebuah kurniaan.
***********************************
Pertemuan 2 jam itu, saya akhiri dengan sebuah nota yang saya tuliskan pada sebuah buku yang saya hadiahkan pada Anis.
Moga nota kecil ini menjadi dahan untuk Anis berpaut saat hatinya luruh dalam melalui jalan hidayah yang Allah berikan padanya.
"Wahai Sahabat Yang Punya Cinta Dihati, sehebat manapun kita, sekuat manapun iman yang ada, bukanlah namanya manusia jika kita ini tidak berdosa. Kerana adanya dosa maka Allah sediakan taubat untuk kita kembali padaNya.
Ingatlah wahai sahabat, melalui taubat padaNya mampu mengubah kita untuk mencari jalan menuju Syurga. Andai tergelincir diperjalanan itu nanti, hanya satu pesanku..
Allah sentiasa ada. Dia sentiasa ada untuk kita.
Sesunggunnya hidayah itu adalah kasih sayang dariNya.
Kasih sayang buat hamba-hambaNya yang selalu berdosa dan sentiasa lemah disisiNya... Allahu Allah."
Moga Allah redha..
˳Azrina Abu Bakar ˳