Kita Hanyalah Hamba

Sesungguhnya...

tiada harapan selain ALLAH...
tiada idola selain RASULULLAH...
tiada kata seindah AL-QURAN...
tiada jalan selurus AS-SUNNAH...
tiada perjuangan selain ISLAM.

Wednesday, March 4, 2015

Nilai Sebuah Sabar.



"Sabar".
Mudah benar menyebutnya.
Tapi tak semudah itu melaksanakannya.

Perjalanan untuk meraih sabar bukan mudah sebenarnya.
Perlu ada kefahaman.
Perlu ada sokongan.
Perlu berpaut pada Tuhan.

Kefahaman tentang sabar tidak hanya bertahan.
Sebaliknya, kefahaman tentang sabar ialah bilamana kita mampu mengharunginya.
Melalui tiap detik sukar dan mencabar.
Menempuhi semua yang menyakitkan.
Mengatasi tanpa putus asa dan kecewa.
Jauh sekali membiarkan diri terus menderita.

Sokongan untuk sabar pula tidak hanya melalui kata-kata.
Nasihat demi nasihat terkadang berlalu begitu saja.
Malah sesekali dirasakan begitu sakit ditelinga.
Kerana kononnya, yang menasihati itu tidak merasai apa yang kita rasa.

Sokongan itu sebenarnya panduan untuk ditunjukkan jalan.
Sokongan itu bukanlah tindakan yang terus-terusan menjatuhkan dan tidak juga kata-kata yang hanya sekadar 'arahan'.
Itu ini, begitu begini.

Sokongan yang kita mahukan adalah sokongan yang mampu membangkitkan roh yang buta, jiwa yang sengsara dan jasad yang kian merana.

Dimana? Dan pada siapa?

Pautan pada Tuhan, disinilah segalanya.

Saat tiada kekuatan mengharungi, pasti kan terubat bila kita sedar Allah sentiasa disisi.
Saat diri rebah bagai tidak mampu bangun lagi, pasti kan dikurnia nikmat tabah bila kita memahami Allah itu sentiasa menemani.
Saat luka dirasakan tidak akan sembuh lagi, pasti ada penawar kerana kita tahu Allah sedang menguji.

Tiap ujian itu, sentiasa bertemankan pelajaran.
Tiap ujian itu, pasti diisi dengan pengajaran.
Dan tiap ujian itu sebenarnya, ada nilai kesabaran yang mahu Allah ciptakan.

Selalu kita terlupa untuk menilai.
Terlalu mencari jalan penyelesaian, hingga gagal untuk mengecapi nikmat sabar yang Allah anugerahkan.

Isilah ujian itu, dengan nilai sabar yang sebenarnya.
Andai masih belum temui, renunglah dalam diri..
Diam sebentar, fikirkan sejauh mana hubungan mu dengan Sang Pencipta.

Bila kita mula mencariNya?
Bagaimana kita mahu mendampingiNya?
Sehebat mana Dia dalam hati kita?

Saat itu, pasti ada jawapan mengapa kita diberi ujian dan masih juga gagal untuk memahami Nilai Sebuah Sabar.

Fahamilah, sabar itu bukan hanya pasrah dan menahan.
Sabar itu sebenarnya membawa kita dekat dengan Tuhan.

Moga ada cahaya dihati kita.. Insyaa Allah.


˳Azrina Abu Bakar  ˳

Monday, March 2, 2015

Bulatan Gembira


2 Mac 2015.
Alhamdulillah.

Setahun sudah Allah kembalikan saya menetap disini.

Jika setahun yang lalu, hati sedikit hiba bila meninggalkan sahabat-sahabat yang selalu mendekatkan saya dengan Allah dan RasulNya.

Dihati tak putus-putus berdoa, moga Allah gantikan saya dengan jemaah baru yang mampu menjadikan saya hambaNya yang terus istiqomah dalam mencari ilmu dan belajar utk berbuat kebaikan serta sentiasa berusaha dalam memperbaiki amal.

Hari ni, bahagia yang dicari mula menyapa diri.

Allah anugerahkan saya bersama insan-insan yang mahu dekat denganNya.

Mereka juga sering menyuburkan rasa rindu dihati saat mengenangkan Rasulullah SAW.

Subhanallah.

"Maka nikmat  TuhanMu yang manakah yang mahu kamu dustakan?" (Ar Rahman ayat 13).

Tiada yang lebih indah, kerana pertemuan kami sering saja diatur dalam taman-taman SyurgaNya.

Gurau senda dan gelak tawa kami sentiasa ada peringatan tentang Dia.

Malah saat menangis kami juga ada pengisian tentang Allah dan Rasulullah yang kami cinta.

Walau jemaah ini kecil, namun terlalu besar nikmatnya buat diri.

Moga 'bulatan gembira' ini mampu memberi kami 'bulatan bahagia' hingga ke Syurga.

Sesungguhnya kasih sayang yang terbina ini atas dasar cinta kepada  Allah dan RasulNya.

Allahu Akbar!

Terima kasih Ya Allah.
Terima kasih Sahabat 'MU'.
Kalian begitu Istimewa!

Moga Allah redha..


˳Azrina Abu Bakar  ˳

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...